SINGAPURA: Lapangan Terbang Changi Singapura akan meningkatkan caj untuk penumpang dan penerbangan secara berperingkat antara 2025 hingga 2030.
Keputusan itu dibuat bagi membiayai pelaburan bernilai RM9.94 bilion dalam tempoh enam tahun akan datang untuk menambah baik perkhidmatan di empat terminalnya.
Menurut Utusan Malaysia, Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG) berkata, kenaikan itu juga akan membantu menampung kos operasi yang lebih tinggi, termasuk tenaga kerja dan tenaga.
“Caj itu juga mengambil kira pelaburan awal yang dibuat semasa pandemik Covid-19, apabila caj kekal dari 1 April 2020 hingga 1 Nov 2022 dan kenaikan yang dirancang digantung untuk membantu syarikat penerbangan mengharungi krisis,” katanya dalam satu kenyataan.
Berikutan semakan itu, Bayaran Perkhidmatan dan Keselamatan Penumpang (PSSF) yang kini ditetapkan pada S$46.40 (RM153.76) akan meningkat sebanyak S$3 (RM9.94) setiap tahun selama empat tahun mulai 1 April 2027.
Di samping itu, Levi Penerbangan untuk penumpang yang berlepas akan dinaikkan daripada S$8 (RM26.51) kepada S$10 (RM33.14) pada April 2027.
Yuran S$6 (RM19.88) untuk penumpang transit atau pemindahan akan meningkat sebanyak S$3 (RM9.94) setiap tahun bagi tiga tahun pertama mulai 1 April 2025, diikuti dengan peningkatan sebanyak S$1 (RM3.31) setiap tahun untuk tiga tahun akan datang.
Caj pendaratan, tempat letak kereta dan jambatan udara (LPA) untuk syarikat penerbangan juga akan diselaraskan setiap tahun bermula 1 April 2025.
“Sebagai contoh, caj LPA untuk pesawat A320 sekitar S$1,200 (RM3,978) setiap pendaratan, akan meningkat setiap tahun dengan purata S$110 (RM364) setiap pendaratan untuk tiga tahun pertama, dan purata S$65 (RM215) setiap pendaratan untuk tiga tahun berikutnya.
“Sementara itu, caj LPA untuk pesawat A350 berbadan lebar sekitar S$3,600 (RM11,936) pada masa ini akan meningkat secara purata S$290 (RM961) setiap pendaratan untuk tiga tahun pertama dan purata S$190 (RM629) setiap pendaratan untuk tiga tahun akan datang,” jelasnya lagi.
CAG dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) bekerjasama dengan syarikat penerbangan utama berhubung semakan pada caj lapangan terbang itu.
Bagi membantu syarikat penerbangan semasa peralihan, CAG akan memberikan rebat 50 peratus ke atas kenaikan caj LPA selama enam bulan, dari 1 April 2025 hingga 30 Sept 2025.


































