Donald Trump (kiri) dan Jack Smith.
WASHINGTON: Pendakwa raya dijangka menutup kes jenayah terhadap Donald Trump sebelum beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS).
Menurut Utusan Malaysia, dua sumber terdekat yang mempunyai pengetahuan tentang perkara itu menyatakan, peguam khas mungkin tidak akan meneruskan perbicaraan terhadap Trump selepas kemenangan mengejut menewaskan Naib Presiden, Kamala Harris dalam pilihan raya, kelmarin.
Langkah tersebut mencerminkan realiti bahawa kes-kes itu tidak akan selesai sebelum hari pelantikan Presiden ke-47 AS pada 20 Januari depan.
“Sebaik sahaja Trump kembali ke Rumah Putih, pejabat peguam khas itu akan dilarang daripada meneruskan tindakan jenayah selanjutnya di bawah dasar jabatan keadilan.
“Jabatan kehakiman lama mengetahui bahawa jika Trump menang, kes jenayah berhubung pengekalan dokumen sulit beliau dan usahanya untuk membatalkan pilihan raya 2020 akan selesai kerana peguam negara yang dilantik berkemungkinan akan menggugurkan pertuduhan.
“Tetapi ia juga difahamkan sebagai langkah pencegahan untuk memastikan Trump tidak dapat memerintahkan pemecatan Peguam Khas, Jack Smith seperti yang ingin dilakukannya sebelum memegang jawatan Presiden,” kata sumber itu.
Jabatan kehakiman dilaporkan masih meneliti cara untuk menggulung kes, yang berada dalam peringkat berbeza dan rumit.
Jabatan itu tidak mahu kes berkaitan dokumen sulit yang ditolak dan kini dalam rayuan, tidak dicabar.
Kegagalan meneruskan rayuan terhadap kes tersebut atas alasan Smith dilantik secara tidak sah dikhuatiri akan menghalang keupayaan jabatan kehakiman untuk menggunakan peguam khas pada masa hadapan.
Trump melancarkan kempen presidennya pada 2022 ketika siasatan kes masih berjalan.
Siasatan itu meneliti simpanan bahan keselamatan negara oleh Trump di kelab Mar-a-Lago selepas beliau kalah dalam pilihan raya Presiden 2020.
Trump berulang kali memberitahu penyokong di perhimpunan dan dalam kenyataan umum bahawa beliau bertanding untuk kebebasan literalnya, menggesa pengundi mengembalikannya ke Rumah Putih kerana tuduhan itu hanya akan gugur jika dipilih semula.
Selama berbulan-bulan, strategi undang-undang menyeluruh Trump adalah untuk menangguhkan kes jenayah itu sehingga pilihan raya selesai.
Harapannya ialah jika menang, beliau boleh melantik peguam negara yang setia dan bersedia menggugurkan pendakwaan tersebut.
Trump tidak berjaya menangguhkan kes jenayah New York yang dikaitkan dengan usahanya untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya 2016 melalui bayaran ‘hush money’ yang menyalahi undang-undang.
Kes itu mengakibatkan sabitan 34 pertuduhan jenayah terhadap Trump tetapi tidak menggugat sokongan politik kepadanya.


































