MANILA: Pihak berkuasa membersihkan pokok tumbang dan serpihan bumbung di sekitar kawasan perkampungan di utara Filipina selepas Taufan Yinxing membadai kawasan pantai semalaman.
Menurut Utusan Malaysia, taufan kuat itu, menerbangkan bumbung rumah dan memaksa beribu-ribu penduduk mencari perlindungan.
Sementara hampir 30,000 orang berlindung di kemudahan yang dikendalikan kerajaan beberapa hari sebelum Yinxing mendarat, tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat taufan itu.
Angin Yinxing berkelajuan 175 kilometer sejam merobohkan talian elektrik, menumbangkan pokok dan memecahkan tingkap ketika ia membadai pantai utara negara semalam.
Pegawai melaporkan 242.6 milimeter hujan turun dalam tempoh 24 jam.
“Banyak pokok tumbang. Terdapat juga hakisan tanah di beberapa kawasan. Kami bernasib baik ia bukan tanah runtuh sepenuhnya,” kata Ketua Bencana Wilayah Cagayan, Rueli Rapsing.
Di perbandaran Pamplona wilayah itu, angin kencang menyebabkan bumbung berterbangan di udara dan penduduk berebut mencari perlindungan.
“Angin kencang yang kami alami malam tadi adalah yang paling kuat pernah saya rasa dan lihat di bandar ini.
“Bumbung rumah yang sedang dibina di hadapan rumah kami tiba-tiba terbang,” kata penduduk Patrick Maquiraya, 35 kepada AFP.
Maquiraya berkata, rakan-rakan yang mencari perlindungan di gimnasium terpaksa berpindah ke gereja berhampiran selepas angin kencang memecahkan tingkap kaca bangunan itu.
Satu video langsung yang dilihat oleh AFP semalam menunjukkan angin kencang menjatuhkan barangan dari rak kedai di bandar Santa Ana, di mana taufan itu mendarat.
Setakat pukul 8 pagi (waktu tempatan), pusat Taufan Yinxing dianggarkan berada di barat laut bandar Laoag dan bergerak keluar merentasi Laut China Selatan, menurut agensi cuaca negara.
Rapsing berkata, talian elektrik sedang dipulihkan apabila wilayah itu beralih kepada mod pembersihan dengan polis, bomba dan penyelamat menggunakan jengkaut serta peralatan lain untuk membersihkan jalan utama.
Yinxing merupakan ribut ketiga dalam tempoh kurang sebulan yang mengancam Filipina selepas Ribut Tropika Trami dan Taufan Super Kong-rey menyebabkan 158 orang terkorban.


































