LYON: Interpol mengumumkan, operasi polis antarabangsa selama enam hari terhadap pemerdagangan manusia membawa kepada 2,500 tangkapan dan menyelamatkan lebih 3,000 mangsa.
Menurut Utusan Malaysia, operasi yang dinamakan ‘Liberterra II’ itu berlangsung dari 29 September hingga 4 Oktober dan merupakan operasi terbesar yang pernah dilaksanakan oleh organisasi penguatkuasaan undang-undang global tersebut bagi menangani pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran.
Mangsa yang diselamatkan termasuk kanak-kanak bawah umur yang dipaksa bekerja di ladang di Argentina dan migran di kelab malam di Macedonia Utara.
Individu yang dipaksa menjadi peminta sedekah di Iraq dan mereka yang dijadikan pekerja di rumah persendirian di seluruh Asia Barat turut ditahan dalam operasi itu.
“Serbuan yang dilakukan telah berjaya menyelamatkan 3,222 mangsa pemerdagangan manusia dan mengenal pasti 17,793 migran tidak berdokumen.
“Pihak berkuasa memperkukuhkan kawalan di beberapa titik sempadan strategik dan memantau hampir 24,000 penerbangan.
“Kami juga menempatkan pegawai di kawasan panas yang dikenal pasti sebagai titik penyeludupan dan pemerdagangan,” jelas Interpol yang berpusat di Lyon, Perancis.
Hampir lapan juta pemeriksaan dilakukan terhadap pangkalan data Interpol, dengan jumlah keseluruhan 2,517 tangkapan dibuat sepanjang minggu operasi.
Seramai 850 daripadanya berkaitan dengan tuduhan pemerdagangan manusia atau penyeludupan migran.
“Dalam usaha mereka untuk mendapatkan keuntungan, kumpulan jenayah terancang terus mengeksploitasi lelaki, wanita dan kanak-kanak berkali-kali.
“Hasil operasi ini menyerlahkan skala cabaran besar yang dihadapi oleh pihak penguatkuasa, menekankan bahawa hanya tindakan yang diselaraskan dapat melawan ancaman ini,” kata Setiausaha Agung Interpol, Jurgen Stock.


































