JAKARTA: Gunung Marapi di Sumatera Barat kembali mletus dan menghamburkan debu sejak pagi semalam.
Menurut Utusan Malaysia, gunung berapi itu menghamburkan abu tebal dan batu panas sekitar 800 meter dari puncaknya.
Menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), letusan itu berlaku pada pukul 5.44 pagi (waktu tempatan).
“Amplitud maksimum direkodkan pada seismogram mencecah 30 meter dan berlarutan selama 4 minit 35 saat.
“Status semasa Gunung Marapi kini berada pada tahap berjaga-jaga,” katanya.
Orang ramai di kawasan berhampiran dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan sekitar tiga kilometer dari kawah gunung berapi itu.
“Dalam situasi kecemasan ini, kefahaman orang ramai tentang garis panduan pemindahan amat penting untuk keselamatan mereka.
“Ini terutama bagi mereka yang tinggal berhampiran kawasan Gunung Marapi,” jelas PVMBG.
Mereka yang tinggal di sepanjang sungai yang berasal dari lereng gunung berapi turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan aliran lahar semasa hujan lebat.
Gunung Marapi adalah satu daripada 127 gunung berapi aktif di Indonesia, terletak di Lingkaran Api Pasifik yang aktif secara seismik.


































