WASHINGTON: Calon Republikan, Donald Trump dihujani ucapan tahniah daripada pemimpin dunia selepas keputusan tidak rasmi menunjukkan beliau mendahului dengan 266 undi pemilih, meninggalkan calon Demokrat, Kamala Harris yang memperoleh 219 undi.
Menurut Utusan Malaysia, pasaran kewangan juga dilaporkan meningkat berikutan keputusan itu.
Ketika keputusan awal mula menyebelahi Trump, China antara yang terawal mengucapkan tahniah dan berharap untuk meneruskan hubungan baik dengan AS.
“Kami akan terus mendekati dan mengendalikan hubungan China-AS berdasarkan prinsip saling menghormati, kewujudan bersama secara aman dan kerjasama menang-menang.
“Kami menghormati pilihan rakyat AS,” kata jurucakap Kementerian Luar, Mao Ning.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengucapkan tahniah kepada Trump yang dianggap sebagai ‘rakan’.
“Saya berharap hubungan Turkiye-AS akan bertambah kukuh dan krisis serta peperangan serantau dan global, terutamanya isu Palestin dan perang Russia-Ukraine, akan berakhir,” tulisnya di laman X.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron pula berkata, beliau bersedia untuk bekerjasama dengan rasa hormat dan bersemangat seperti yang berjaya lakukan selama empat tahun.
Dalam hantara di platform X, Macron berkata, hubungan dengan Trump akan mengambil kira semua aspek demi keamanan dan kemakmuran bersama.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, turut mengucapkan tahniah kepada Trump pada hari Rabu atas ‘kemenangan yang mengagumkan’ dalam pilihan raya AS dan berkata, beliau berharap jawatan presidennya akan membawa kembali keamanan yang adil di Ukraine.
“Saya menghargai komitmen Trump terhadap pendekatan ‘keamanan melalui kekuatan’ dalam hal ehwal global. Inilah prinsip yang boleh membawa secara praktikal keamanan di Ukraine lebih dekat.
“Kami menantikan era AS yang kukuh di bawah kepimpinan tegas Trump. Kami bergantung kepada sokongan bipartisan yang kuat dan berterusan untuk Ukraine di AS,” kata Zelensky dalam satu kenyataan di media sosial.
Sementara itu, Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Mark Rutter berkata, kemenangan Trump akan menguatkan lagi organisasi itu.
“Kepimpinan Trump akan menjadi kunci utama kekuatan pertubuhan ini dan saya berharap dapat bekerjasama dengannya sekali lagi untuk meningkatkan keamanan bersama NATO,” katanya.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan kemenangan itu sebagai satu kehadiran semula bersejarah bagi bekas pemimpin AS itu dan permulaan baharu dalam perikatan AS-Israel.
“Tahniah atas kejayaan terbesar dalam sejarah!
“Kehadiran semula yang bersejarah anda ke White House memberikan permulaan baharu untuk AS dan satu komitmen semula yang kuat terhadap perikatan hebat antara Israel dan Amerika. Ini adalah kemenangan besar!,” kata Netanyahu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya.


































