ISLAMABAD: Bandar kedua terbesar di Pakistan, Lahore, akan menutup sekolah rendah selama seminggu akibat tahap pencemaran udara yang mencapai rekod tertinggi.
Menurut Utusan Malaysia, bandar dengan 14 juta penduduk itu berdepan jerebu teruk dan pencemaran yang disebabkan oleh asap diesel berkualiti rendah dan pembakaran pertanian bermusim.
Menurut data IQAir, indeks kualiti udara, yang mengukur pelbagai jenis pencemaran, direkodkan melebihi 1,000 pada Sabtu lalu – jauh di atas paras 300 yang dianggap berbahaya.
Kerajaan Punjab juga mencatatkan bacaan melebihi 1,000 pada semalam, yang disifatkan tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Ramalan cuaca untuk enam hari akan datang menunjukkan corak angin akan kekal sama.
“Oleh itu, kami menutup semua sekolah rendah kerajaan dan swasta di Lahore selama seminggu,” kata pegawai kanan perlindungan alam sekitar di Lahore, Jahangir Anwar kepada AFP.
Menteri Kanan Punjab, Marriyum Aurangzeb menyarankan pemakaian pelitup muka diwajibkan di sekolah memandangkan jerebu sangat berbahaya kepada kanak-kanak.
“Kami akan memantau kesihatan pelajar di sekolah tinggi. Kaunter jerebu juga sudah ditempatkan di hospital,” katanya dalam sidang media, Ahad.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, menyedut udara beracun boleh membawa kesan kesihatan yang buruk seperti strok, penyakit jantung, kanser paru-paru dan penyakit pernafasan sekiranya pendedahan berpanjangan.































