Selain dihidangkan dalam sup, Fa Cai boleh dipanggang dan ditambah dengan sedikit sos pedas sebelum dinikmati begitu sahaja.
BEIJING: Snek jalanan terbaharu yang dijual di Chengdu, China, menarik perhatian orang ramai kerana rupanya yang unik dan aneh seperti gumpalan rambut manusia.
Menurut Utusan Malaysia, Fa Cai atau Fat Choy adalah sejenis sianobakterium kering yang sudah lama menjadi sebahagian daripada masakan China.
Ia tumbuh di kawasan kering dan tandus seperti di Gansu, Shaanxi, Qinghai, Xinjiang dan Mongolia Dalam di China.
Ia diproses dengan kaedah pengeringan udara sejurus selepas penuaian.
Oleh kerana bentuknya yang gelap dan filamen, ia juga dikenali sebagai ‘sayur rambut’.
Fa Cai – nama saintifiknya Nostoc flagelliforme – sering disajikan sebagai bihun hitam dalam pelbagai sup dan hidangan, terutama pada malam Tahun Baru sebagai simbol tuah.
Baru-baru ini, makanan unik tersebut mula tular sebagai snek jalanan yang kelihatan seperti sedang memakan rambut manusia.
Beberapa penjaja makanan jalanan di Chengdu mengolah cara masakan baharu untuk Fat Choy, yang mengekalkan rupa seperti rambut tersebut.
Selain dihidangkan dalam sup, rupanya Fa Cai boleh dipanggang dan ditambah dengan sedikit sos pedas sebelum dinikmati begitu sahaja.
Walaupun rupanya agak pelik, mereka yang mencubanya mendakwa rasa makanan tersebut sedap.
Kesan visual cara menikmati Fa Cai yang seperti rambut manusia, menarik ramai pempengaruh mencubanya dan menjadikan snek tersebut tular di media sosial.
































