Walaupun kerjaya seperti saintis, jurutera, dan angkasawan sering dikaitkan dengan misi angkasa, terdapat satu lagi kumpulan yang memainkan peranan penting tetapi jarang dikenali iaitu tukang jahit yang membuat sut angkasa.
Menurut Utusan Malaysia, kemahiran menjahit yang selalunya dianggap biasa oleh orang ramai, hakikatnya menjadi antara komponen utama kejayaan misi angkasawan ke angkasa lepas.
Jeanne Wilson adalah antara beberapa tukang jahit di International Latex Corporation (ILC) Dover yang membuat sut angkasa untuk manusia pertama menjejakkan kaki di bulan, Neil Alden Armstrong menerusi misi Apollo 11.
Wilson didedahkan dengan kemahiran menjahit seawal usianya tujuh tahun, dan ketika berumur sembilan tahun, beliau sudah mereka dan membuat pakaian untuk anak patung, sebelum berpeluang menjahit sut angkasawan pada 1969.
Menurut Wilson, beliau dimaklumkan oleh kakaknya tentang peluang bekerja membuat sut angkasa untuk misi Apollo di ILC.
“Kakak saya bekerja di Playtex, berkait dengan ILC Dover. Dia membuat pakaian dalam dan korset.
“Bahan tahan lama dan fleksibel yang direka untuk pakaian dalam wanita juga sesuai untuk sut angkasa, maka selepas diberitahu oleh kakak mengenai peluang itu saya baru 19 tahun, masih muda tetapi sangat teruja,” katanya.

PEMBUATAN TELITI
Wilson yang memulakan kerjayanya sebagai penjahit beg, kemudian beralih ke ILC untuk menyertai pasukan yang membuat sut angkasa.
Proses pembuatan ini memerlukan ketelitian dan perhatian yang tinggi.
Katanya, latihan di ILC merangkumi pembacaan pelan, bekerja dengan jurutera serta jahitan menggunakan benang baharu dan pelbagai lapisan fabrik halus.
Walaupun sut angkasa mempunyai 21 lapisan yang sangat nipis, setiap lapisan memainkan peranan penting dalam melindungi angkasawan daripada keadaan ekstrem di angkasa.
“Anda mungkin fikir fabriknya murah iaitu antara lima atau enam dolar semeter.
“Tidak, ia hampir AS$3,000 (RM13,096) dan disimpan di dalam peti keselamatan,” katanya.
Wilson berkata, sut yang sudah siap kemudian dibawa ke hospital tempatan di Dover, Delaware untuk menjalani ujian X-ray, bagi memastikan tiada jarum atau benda lain tertinggal di dalamnya.
Wilson dikhususkan menjahit bahagian badan, lengan, kaki sut dan lencana nama angkasawan, manakala tukang jahit lain termasuk Joanne Thompson pula membuat but dan sarung tangan.
Sarung tangan terdiri daripada beberapa bahagian, termasuk fabrik berlipat seperti akordeon, membolehkan angkasawan meregangkan tangan dan bergerak dengan lebih mudah.
Thompson juga mempunyai kisah sama seperti Wilson, belajar menjahit seawal kanak-kanak. Beliau meninggalkan pekerjaan di kilang pakaian untuk menyertai ILC dan tinggal di sana selama 38 tahun.
“Kami perlu membuat pelbagai sampel jahitan dan menghantarnya ke makmal ujian untuk diuji sehingga ia koyal.
“Kami membuatnya sepanjang hari dan tahu ia akan dibuang. Tetapi kami sedar nyawa seorang lelaki bergantung padanya, jadi kami teruskan juga,” kata Thompson.
Jasa mereka tidak ternilai kerana bukan hanya memastikan keselamatan angkasawan, tetapi juga menunjukkan yang kejayaan misi angkasa adalah hasil kerjasama pelbagai kemahiran dan latar belakang.
































