TOKYO: Penunggang basikal yang didapati menggunakan telefon bimbit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, di bawah undang-undang lalu lintas yang baharu diperkenalkan di Jepun, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, mereka yang melanggar undang-undang tersebut boleh berdepan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda 100,000 yen (RM3,297).
Peningkatan kes kemalangan membabitkan penunggang basikal mula dikesan sejak 2021, susulan ramai yang beralih kepada basikal sebagai alternatif kepada pengangkutan awam sewaktu pandemik, menurut media tempatan.
Selain mengetatkan peraturan terhadap penggunaan telefon bimbit, undang-undang baharu turut menyasarkan penunggang basikal yang berada di bawah pengaruh alkohol, dengan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda 500,000 yen (RM16,486).
Beberapa jam selepas undang-undang tersebut dikuatkuasakan, pihak berkuasa di Osaka merekodkan lima pelanggaran peraturan, termasuk dua lelaki yang ditangkap menunggang basikal dalam keadaan mabuk.
Di bawah undang-undang baharu ini, penunggang basikal yang menyebabkan kemalangan boleh dikenakan denda sehingga 300,000 yen (RM9,891) atau penjara sehingga setahun.
Walaupun jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya di Jepun menurun, kemalangan melibatkan basikal terus meningkat.
Terdapat lebih daripada 72,000 kes kemalangan basikal dicatatkan di Jepun pada 2023, merangkumi lebih 20 peratus daripada semua kemalangan jalan raya di negara tersebut.
Peraturan terbaharu ini adalah sebahagian daripada langkah keselamatan yang bertujuan melindungi keselamatan penunggang dan pejalan kaki.
Tahun lalu, pihak berkuasa mewajibkan pemakaian topi keledar bagi penunggang basikal, dan pada Mei, Parlimen Jepun meluluskan rang undang-undang yang membenarkan polis mengenakan denda bagi kesalahan trafik membabitkan basikal.































