THE HAGUE: Operasi polis global berjaya menutup pelayan salah satu platform perisian hasad atau malware terbesar di dunia yang mensasarkan berjuta-juta mangsa, kata Agensi Kerjasama Keadilan Jenayah Kesatuan Eropah (Eurojust).
Menurut Utusan Malaysia, siasatan selama setahun dikenali sebagai ‘Operasi Magnus’, melibatkan kerjasama penyiasat dari enam negara termasuk Belanda, Australia, Britain dan Amerika Syarikat (AS) dalam usaha membanteras jenayah siber itu.
“Infostealers yang ditumpaskan telah mensasarkan berjuta-juta mangsa di seluruh dunia, menjadikannya salah satu platform perisian hasad terbesar global,” kata Eurojust dalam satu kenyataan.
“Pihak berkuasa menemui lebih 1,200 pelayan di puluhan negara yang menjalankan perisian hasad tersebut,” menurut agensi berkenaan yang berpusat di The Hague dan menyelaraskan operasi berkenaan pada Isnin.
Menurut Eurojust, Penyiasat berjaya menutup tiga pelayan di Belanda, merampas dua domain, mendedahkan tuduhan di AS dan menahan dua individu di Belgium.
Platform jenayah yang dikenali sebagai RedLine dan META ini mencuri data peribadi dari peranti yang dijangkiti, termasuk nama pengguna, kata laluan, serta data yang disimpan secara automatik seperti alamat, alamat emel dan dompet kripto.
Peranti mangsa dijangkiti apabila memuat turun perisian dari sumber yang tidak boleh dipercayai.
Penyiasatan dimulakan selepas beberapa mangsa tampil membuat aduan dan sebuah syarikat keselamatan memberi makluman kepada pihak berkuasa mengenai kemungkinan pelayan di Belanda mempunyai kaitan dengan perisian hasad itu.
Di AS, pihak berkuasa telah mengenakan tuduhan penipuan dan pengubahan wang haram terhadap seorang suspek yang dipercayai merupakan pembangun dan pentadbir RedLine.
Pejabat Peguam Negara AS dalam satu kenyataan berkata, jika didapati bersalah, suspek berdepan hukuman maksimum 10 tahun penjara atas tuduhan penipuan akses peranti, lima tahun untuk konspirasi melakukan pencerobohan komputer, dan 20 tahun penjara bagi pengubahan wang haram.