LONDON: Pemakan pedas terpantas, Mike Jack, sekali lagi mencabar deria rasa dirinya apabila memecahkan rekod dunia makan jumlah sos paling pedas terbanyak dalam masa tiga minit.
Menurut Utusan Malaysia, pempengaruh dari Kanada itu berjaya menghabiskan sebanyak 1.12 kg sos pedas semasa lawatannya ke Ibu Pejabat Guinness World Records di London, baru-baru ini.
Jumlah itu lebih berat daripada dua bola sepak, yang masing-masing mempunyai berat sekitar 450gram.
Dalam percubaan tersebut, Mike memulakan cabarannya dengan menuang dua botol sos Sriracha ke dalam mangkuk dan bersedia dengan satu sudu teh.
Dengan isteri yang juga jurulatihnya, Jamie, memberi sokongan di sisinya, Mike terus menyuap sos pedas secepat mungkin.
“Ramai orang bertanya, mesti perut saya berasa sangat panas selepas cabaran itu. Sebenarnya, saya tidak pernah mengalami masalah itu. Mungkin ini adalah mutasi genetik saya, seolah-olah kuasa super,” kata Mike.
Dia mula mencari sos yang semakin pedas sehingga akhirnya menggunakan perasa yang diperbuat daripada lada paling pedas di dunia, seolah-olah ia adalah sos tomato biasa.
“Saya makan lada pertama saya dan walaupun panas, saya rasa saya boleh makan lebih banyak, jadi saya terus membuat video untuk melihat berapa banyak yang saya boleh makan,” katanya lagi.
Pengadil Rekod Guinness, Juliet Dawson menyifatkan percubaan Mike sebagai salah satu aksi paling mendebarkan yang pernah disaksikannya.
Rekod baharu ini memerlukan sekurang-kurangnya 300g untuk diatasi, dan Mike berjaya melebihi tiga kali ganda jumlah tersebut.
“Saya tak sangka akan berjaya makan sebanyak ini. Saya gembira dapat pecahkan rekod ini kerana ini memang mencabar tubuh badan,” katanya.
Mike kini memegang pelbagai rekod dunia berkaitan makanan dan sebelum ini pernah mencatat rekod masa terpantas untuk minum sebotol sos pedas dalam masa 8.56 saat.


































