Serpihan sebuah helikopter selepas terhempas di kawasan berbukit di daerah Pune, negeri Maharashtra, kelmarin.
NEW DELHI: Tiga maut termasuk dua juruterbang selepas sebuah helikopter peribadi dilaporkan terhempas di barat India, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, helikopter tersebut terhempas dan terbakar di kawasan berbukit, dalam kejadian di pinggir bandar Pune, negeri Maharashtra barat sekitar pukul 6.45 pagi (waktu tempatan).
Ketua Pegawai Bomba, Devendra Potphode berkata, dua jurutebang dan seorang jurutera maut dalam nahas tersebut.
“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati helikopter terhempas dan semua bahagiannya berselerak.
“Kita berjaya mengeluarkan tiga mangsa dan mayat mereka diserahkan kepada pihak polis,” katanya kepada pemberita, kelmarin.
AFP melaporkan, helikopter tersebut disewa oleh pembangkang, Parti Kongres Nasionalis dan dalam perjalanan menuju ke Mumbai.
Setakat ini, punca nahas belum diketahui, namun media tempatan mendakwa terdapat kabus tebal di kawasan tersebut ketika kejadian berlaku.


































