Roket SpaceX Falcon 9 membawa kapal angkasa Dragon bersama dua angkasawan berlepas dari Stesen Angkasa Cape Canaveral Florida.
FLORIDA: SpaceX melancarkan misinya untuk membawa pulang dua angkasawan yang terkandas di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sejak Jun.
Menurut Utusan Malaysia, Kapsul Dragon, yang mempunyai dua tempat duduk kosong untuk Butch Wilmore dan Suni Williams, berlepas dari Cape Canaveral, Florida Ahad.
Misi mereka di stesen angkasa sepatutnya berlangsung selama kira-kira lapan hari, tetapi disebabkan kerosakan pada Boeing Starliner baharu, ia terpaksa kembali ke bumi tanpa penumpang sebagai langkah berjaga-jaga.
Angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), Nick Hague dan angkasawan Russia, Alexander Gorbunov turut berlepas dengan membawa keperluan untuk Butch dan Suni, termasuk dijangka membawa mereka pulang pada Februari.
Pelancaran kapsul Dragon dijadualkan pada Khamis lalu, namun ditangguhkan kerana Taufan Helene yang meninggalkan kesan kemusnahan di Florida, Georgia, Tennessee dan Carolina.
SpaceX, yang diasaskan oleh hartawan terkemuka, Elon Musk, menghantar dan membawa pulang kru dari ISS setiap enam bulan.
Kapsul itu dijangka mendarat di ISS pada Ahad sekitar pukul 9.30 malam (waktu tempatan).
Di bawah kontrak antara NASA dan agensi angkasa Russia, Roscosmos, kapal angkasa Soyuz tiga tempat duduk membawa seorang angkasawan NASA pada setiap penerbangan ke ISS.
Manakala, bagi kapsul Dragon dengan empat tempat duduk pula membawa seorang angkasawan Russia pada setiap penerbangan.


































