Gambar Hiasan
MAKASSAR: Seorang lelaki bakal berdepan hukuman penjara 15 tahun kerana membunuh anak sendiri di Maros, Sulawesi Selatan, Indonesia.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Unit Siasatan Jenayah Balai Polis Maros, Iptu Aditya Pandu berkata, suspek yang berusia 44 tahun didakwa menikam mangsa sehingga mati berikutan berang kerana anaknya merosakkan motosikal.
Beliau berkata, polis masih menunggu hasil bedah siasat mangsa dari Hospital Bhayangkara Makassar dan segera menyelesaikan kertas siasatan.
Ketua Polis Pangkep, Bripka Hidayat berkata, insiden berlaku di kawasan perumahan Mandai pada Khamis lepas sekitar pukul 9 pagi (waktu tempatan).
Beliau berkata, suspek berang selepas melihat motosikal yang digunakan anaknya rosak menyebabkan dia bertindak memukul wajah dan menendang mangsa beberapa kali.
“Pelaku memukul dengan tangan dan tongkat kayu serta menendang perut mangsa sebanyak tiga kali.
“Suspek kemudian bertindak menikam bahagian belakang badan mangsa berulang kali sehingga dia tidak sedarkan diri,” katanya.
Suspek kemudiannya ditangkap pada Sabtu lalu sebelum diserahkan kepada pihak polis berdekatan.


































