FLAT ROCK, North Carolina: Lebih 1,000 orang dilaporkan hilang di North Carolina akibat Taufan Helene selepas 36 disahkan maut di negeri sama, menurut pegawai semalam.
Menurut Utusan Malaysia, pihak berkuasa di Buncombe County mendedahkan angka mangsa yang gagal dikesan dalam satu mesyuarat kecemasan, ketika pasukan mencari dan menyelamat giat menjalankan operasi mencari di kawasan ditenggelami banjir.
Sheriff Buncombe County, Quentin Miller, dipetik New York Post berkata, pihak berkuasa turut melancarkan laman web khas untuk membantu mencari individu yang hilang.
“Kami sedang berusaha sebaik mungkin untuk mengesan mangsa yang hilang.
“Kami masih menjalankan operasi pencarian dan sedar ini juga mungkin bertukar menjadi operasi mengeluarkan mayat,” katanya.
Jelas beliau, usaha menyelamat sukar dilakukan ekoran jalan yang runtuh, infrastruktur yang terjejas dan banjir besar.
Gabenor Roy Cooper berkata, sehingga kini sebanyak 36 terkorban di North Carolina dan jumlah itu dijangka meningkat.
Pasukan kecemasan berjaya menyelamatkan lebih 40 mangsa di Ashville, manakala bekalan bantuan terpaksa dihantar melalui udara ke lokasi-lokasi yang terputus hubungan.
Dengan menara komunikasi mudah alih rosak di seluruh kawasan tersebut, ratusan orang masih belum dapat menghubungi ahli keluarga mereka.
Setakat semalam, Helene telah meragut sekurang-kurangnya 105 nyawa dan menyebabkan jutaan orang bergelap tanpa bekalan elektrik sejak melanda Florida Khamis lalu.
Taufan Helene, ribut kategori empat terburuk membadai Florida sejak tahun 1851, bergerak merentasi Georgia, Carolina dan Tennessee selepas mencatatkan kematian paling tinggi di North dan South Carolina.
Pentadbir Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan, Deanne Criswell berkata, proses baik pulih akan menjadi sangat rumit di lima negeri di tenggara AS itu.
Menurut pihak insuran, anggaran kerugian dijangka mencecah hingga AS$100 bilion (RM411.2 bilion) kerana sistem air, komunikasi, dan laluan pengangkutan kritikal turut terjejas.


































