Logo Google dipamerkan ketika Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) di Barcelona, pada 27 Februari 2024.
WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk mendakwa Google jika beliau memenangi pilihan raya 2024.
Menurut Utusan Malaysia, calon presiden Republikan itu menuduh gergasi teknologi berkenaan memanipulasi hasil carian untuk memihak kepada pesaingnya dari Demokratik, Kamala Harris.
Dalam hantaran di Truth Social, Trump mendakwa Google mengendalikan sistem ‘haram’ yang mengutamakan cerita negatif mengenainya dan menonjolkan laporan yang menguntungkan Harris.
Trump tidak menyebut undang-undang tertentu tetapi memberi amaran sekiranya dipilih, beliau akan mendesak Jabatan Keadilan AS untuk mendakwa Google, yang disifatkan campur tangan dalam pilihan raya.
“Ini adalah aktiviti haram. Saya akan meminta pendakwaan mereka, pada tahap maksimum, apabila saya menang dalam pilihan raya dan menjadi Presiden AS,” katanya.
Kenyataan Trump itu dikeluarkan susulan satu kajian oleh Media Research Center (MRC) mendakwa algoritma carian Google secara tidak seimbang memberi kelebihan kepada Harris berbanding Trump, lapor USA Today yang berpusat di Washington.
Kajian itu turut dilaporkan oleh Fox News dan New York Post, menumpukan kepada carian yang dilakukan pada 6 September lalu merujuk kepada perlumbaan pemilihan Presiden 2024.
Kajian tersebut mendapati bahagian cerita utama memaparkan tujuh artikel dari portal yang disifatkan oleh kumpulan tersebut sebagai berhaluan kiri, seperti New York Times dan Politico, sebelum menghubungkan ke laman web kempen Trump.
Google menafikan dakwaan ini.
Seorang jurucakap syarikat yang enggan dinamakan berkata, keputusan carian mencerminkan kandungan yang sentiasa berubah di web dan tidak dimanipulasi untuk memihak mana-mana calon.
Katanya, kajian Media Research Center hanya menilai satu istilah carian pada hari tertentu, sambil berkata laman web kempen Trump dan Harris turut tersenarai dalam hasil carian utama.


































