Laluan Rempah merangkumi kawasan luas dengan pelbagai tapak sejarah dan budaya di seluruh kepulauan Indonesia.- Gambar Hiasan
JAKARTA: Pengiktirafan bagi Laluan Rempah sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO boleh mengukuhkan peranan Indonesia dalam sejarah dunia.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Kebudayaan dari Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Penelitian, dan Teknologi, Hilmar Farid berkata, penghargaan itu dapat memperkukuh identiti nasional Indonesia di pentas global dan menonjolkan peranan republik ini dalam sejarah dunia.
“Pengiktirafan global terhadap Laluan Rempah akan mengingatkan dunia tentang sumbangan Indonesia kepada budaya dan sejarah, sambil menggalakkan generasi muda untuk memelihara warisan penting ini,” katanya semasa perbincangan secara maya semalam.
Farid dipetik agensi berita Antara sebagai berkata, Laluan Rempah merangkumi kawasan yang luas dengan pelbagai tapak sejarah dan budaya di seluruh kepulauan Indonesia.
“Lokasi-lokasi ini perlu diiktiraf secara rasmi sebagai warisan budaya, yang merupakan syarat utama untuk pengiktirafan UNESCO,” katanya.
Tambah beliau, proses mencadangkan Laluan Rempah sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO memerlukan kesabaran, dokumentasi yang teliti dan kerjasama merentasi sektor, termasuk kerajaan, pakar akademik dan masyarakat.
“Memelihara warisan bukanlah sesuatu yang boleh kita lakukan sendirian. Kita mesti bersatu dalam usaha ini,” kata Farid.
Beliau berkata, usaha itu bukan hanya mengenai pemeliharaan sejarah tetapi juga berfungsi sebagai diplomasi budaya, menjadikan Laluan Rempah sebagai aset global untuk Indonesia.


































