Perubahan polisi umur persaraan akan dilaksanakan secara berperingkat selama 15 tahun.- Gambar Hiasan
BEIJING: China akan menaikkan umur persaraan pekerja secara berperingkat pada tahun depan, dengan umur persaraan untuk lelaki dinaikkan kepada 63 tahun dan wanita kepada 55 atau 58 tahun bergantung kepada jenis pekerjaan.
Menurut Utusan Malaysia, Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Nasional, meluluskan polisi baharu itu kelmarin, sebagai usaha menangani masalah penurunan populasi dan tenaga kerja yang semakin tua.
Perubahan polisi itu akan dilaksanakan secara berperingkat selama 15 tahun.
Umur persaraan semasa adalah 60 tahun untuk lelaki dan 50 tahun untuk wanita dalam pekerjaan buruh kasar serta 55 tahun untuk wanita yang bekerja di pejabat.
Seorang penyelidik kanan di Universiti Victoria di Australia yang mengkaji populasi China dan hubungannya dengan ekonomi, Xiujian Peng berkata, populasi tua di China kian meningkat menyebabkan langkah segera perlu diambil.
Katanya, ia juga adalah satu pembaharuan sejak sekian lama memandangkan umur persaraan sebelum ini ditetapkan pada tahun 1950-an, ketika jangka hayat hanya sekitar 40 tahun.
Polisi itu akan dilaksanakan mulai Januari dan berkuat kuasa secara berperingkat berdasarkan tarikh lahir individu.
Menjelang akhir tahun lalu, China mencatatkan hampir 300 juta orang berumur lebih 60 tahun dan ia dijangka mencecah 400 juta orang pada 2035.
Akademi Sains Sosial China sebelum ini meramalkan dana pencen awam akan kehabisan wang pada tahun tersebut.


































