GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan kelulusan vaksin MVA-BN sebagai vaksin mpox pertama yang dimasukkan ke dalam senarai prakelayakan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, vaksin yang dibangunkan oleh Bavarian Nordic A/S itu dijangka dapat meningkatkan akses kepada vaksin di kawasan yang menghadapi wabak mendesak, terutamanya di Afrika.
Jelasnya, kelulusan prakelayakan itu dijangka membantu usaha untuk mengurangkan penularan dan mengawal penyebaran penyakit itu.
“Prakelayakan pertama vaksin terhadap mpox ini adalah langkah penting dalam perjuangan kita memerangi penyakit ini, baik dalam konteks wabak semasa di Afrika dan pada masa hadapan,” katanya.
Pada masa sama, beliau menekankan keperluan untuk meningkatkan perolehan dan pengedaran vaksin bagi memastikan akses yang saksama bagi golongan paling berisiko.
Turut senada, Penolong Ketua Pengarah WHO, Yukiko Nakatani yang menjelaskan keputusan prakelayakan itu akan mempercepatkan perolehan oleh agensi antarabangsa dan mempercepatkan kelulusan kawal selia negara.
Data semasa menunjukkan vaksin itu 76 peratus berkesan selepas satu dos dan 82 peratus berkesan selepas dua dos.
WHO menekankan keperluan untuk pengumpulan data berterusan mengenai keselamatan dan keberkesanan vaksin.


































