PETALING JAYA: Tawaran iklan badal haji murah sehingga tidak munasabah antara RM1,800 dan RM3,000 dikhuatiri mempunyai unsur penipuan.
Ini kerana harga badal haji sebenarnya jika wakil di Malaysia termasuk permit boleh mencecah RM15,000 hingga RM16,000, manakala bagi individu yang menetap di Mekah adalah sekitar RM4,000 sehingga RM5,000 merangkumi pelbagai kos termasuk pengangkutan.
Menurut Utusan Malaysia, Presiden Pengembaraan Agensi Pelancongan Selangor, Dr. Fathir Badri berkata, harga badal haji yang paling sesuai adalah bermula RM4,000 yang lazimnya menggunakan khidmat penduduk di Mekah untuk melaksanakannya.
Katanya, banyak tawaran badal haji dengan harga terlalu murah kini menjadi pilihan waris kerana nilai rendah sekali gus mencetuskan persoalan sama ada perkara itu benar-benar dilaksanakan atau sebaliknya.
“Orang ramai pula tidak mahu menyelidik latar belakang pihak badal haji yang akhirnya ‘dibedal’ sahaja wang tersebut.
“Untuk makluman, biasanya agensi pelancongan yang menawarkan pakej badal haji mereka akan menggunakan perkhidmatan penduduk di Mekah untuk melaksanakannya.
“Mereka ini masuk ke Arafah selepas waktu puncak dan pihak pengurusan haji di sana tidak menghalang.
“Kebiasaanya agensi tidak menggunakan perkhidmatan para pelajar Malaysia yang menuntut di sana kerana mereka juga mempunyai kekangan tertentu. Oleh itu, saya berpandangan harga bermula RM4,000 adalah wajar dalam penawaran pakej badal haji,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, masyarakat pernah dikejutkan dengan sekelompok individu yang mengambil gambar dan menyatakan bahawa setiap seorang daripada mereka mengerjakan badal haji untuk lebih daripada seorang individu.
Perkara itu menyalahi syarak apabila antara syarat mengerjakan badal haji ialah seorang dibolehkan untuk mengerjakan badal haji bagi seorang individu sahaja dalam satu tahun sekali gus menunjukkan tindakan mengerjakan badal haji untuk beberapa pihak, hukumnya tidak sah.
Menurut Fathir, kemunculan individu berstatus ustaz dan pempengaruh yang menawarkan pakej badal haji dengan menawarkan harga tidak masuk akal mencetuskan pelbagai kebimbangan sama ada ibadah itu benar-benar menepati syarak atau tidak.
“Mereka ini bebas kerana tidak terikat dengan mana-mana agensi kerajaan untuk memantau pergerakan mereka. Jadi, mereka inilah yang menjadi pilihan utama disebabkan harganya yang murah,” katanya.
Tambah beliau, berbanding agensi pelancongan berlesen yang mengiklankan badal haji, ibadah itu akan dilaksanakan bagi mengelakkan disenarai hitam oleh kerajaan.
Katanya, sijil pengesahan badal haji dibuat tidak semestinya ibadah itu benar-benar dilaksanakan kerana ia boleh dimanipulasi oleh mana-mana pihak.
“Waris perlu lihat prestasi dan kenal pihak atau agensi yang menawarkan perkhidmatan badal haji bagi mengelakkan penipuan,” katanya.


































