Sebahagian daripada penerima anugerah berswafoto semasa majlis berkenaan.
KOTA KINABALU : Seramai 477 pelajar di Parlimen Sepanggar menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Madani Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata penerima terdiri daripada pelajar yang memperoleh keputusan 6A hingga 12A dalam peperiksaan masing-masing.
Beliau berkata program itu turut memperlihatkan peningkatan keberkesanan inisiatif Tuisyen Madani percuma yang dilaksanakan di kawasan berkenaan.
“Kita berasa gembira kerana seramai 80 pelajar mendapat keputusan agak baik setelah menjalani Tuisyen Madani yang kita adakan secara percuma di Parlimen sepanggar berbanding 12 pelajar pada tahun lepas.
“Ini bermakna program ini berkesan dan perkara ini kita panjangkan ke sekolah-sekolah berhampiran yang memerlukan.
“Selain itu juga, kepada anak-anak yang tinggal di sekitar kawasan Sepanggar, apabila mendapat surat tawaran melanjutkan pelajaran nanti, mohon maklumkan kepada Pejabat Parlimen kerana ada disediakan insentif one-off.
“Insentif ini terbuka kepada semua yang layak sama ada tawaran daripada universiti awam, swasta dan institusi TVET.
“Hanya perlu maklumkan Pejabat Parlimen Sepanggar dan sertakan surat tawaran,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Madani SPM Tahun 2025 di Dewan Rafflesia Politeknik Kota Kinabalu di sini, pada Isnin.
Dalam perkembangan lain, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata isu berkaitan Akta Kawalan Perkhidmatan dan Sistem (AKPS) perlu diperhalusi susulan kekeliruan yang timbul melibatkan pelaksanaannya di Sabah.
“Saya telah menerima kunjungan Kesatuan Jabatan Imigresen Sabah dan saya juga telah meminta taklimat daripada Badan Hal Ehwal Sabah Sarawak berkenaan isu ini dan memang didapati ada sedikit kekeliruan dalam akta ini yang perlu diperhalusi.
“Oleh itu, saya minta supaya diadakan sesi libat urus antara agensi yang berkaitan dan kalau perlu, kita minta supaya kerajaan negeri untuk bawa perkara ini ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63.
“Bagi saya, isu-isi imigresen ini perlu dihormati dan kita akan pastikan isu ini kekal di bawah kerajaan negeri seperti yang termaktub dalam MA63,” tambahnya.
Beliau berkata sekiranya perkara itu masih gagal diselesaikan di peringkat jawatankuasa teknikal, isu berkenaan boleh dibawa ke Jawatankuasa Induk MA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri.
Dalam majlis yang sama, turut disampaikan beberapa anugerah lain antaranya Anugerah Sekolah Terbaik, Anugerah Anjakan Paradigma (Sekolah) dan Anugerah Khas YB Mustapha Sakmud : Pelajar Terbaik.
Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Johari @ Jaibet Sabin, wakil Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Nirazmilah Sulaiman dan Pengarah Pejabat Parlimen Sepanggar, Ahsim Jamat.
































