Jamawi (empat dari kanan) menyempurnakan upacara memotong padi ‘mongomot’ sebagai simbolik perasmian Majlis Sambutan Kaamatan 2026.
KOTA KINABALU: Tanaman padi tanah kering kini menjadi antara fokus utama Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) dalam usaha memperkukuh sekuriti makanan Sabah.
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pendekatan itu dilihat berpotensi besar sebagai alternatif kepada penanaman padi sawah, khususnya di kawasan yang tidak mempunyai sistem pengairan mencukupi.
Beliau berkata, kementerian sedang dalam perancangan memperkenalkan kaedah penanaman padi tanah kering secara meluas termasuk menggunakan pasu dan polybag di kawasan sekitar rumah.
“Kita sedang bercadang memperkenalkan tanaman padi tanah kering yang boleh diusahakan di keliling rumah, termasuk dalam pasu atau polybag. Sekiranya kajian varieti yang sesuai selesai, kita akan lancarkan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Kaamatan 2026 di ruang legar Wisma Pertanian Sabah, di sini hari ini.
Jamawi berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkasa Inisiatif Kebun Dapur yang telah mula menunjukkan hasil positif dalam kalangan masyarakat luar bandar.
“Saya melihat dalam tempoh tiga hingga empat bulan ini, apabila kita mempromosikan kebun dapur, sudah ada petani dan penduduk kampung yang mencuba menanam padi tanah kering di sekitar rumah mereka,” katanya.

Jamawi (meja tengah) bergambar kenangan dengan tetamu jemputan serta semua yang hadir dalam majlis itu.
Jamawi berkata, Jabatan Pertanian sebelum ini telah menjalankan kajian terhadap beberapa varieti padi yang sesuai ditanam tanpa memerlukan penggunaan air yang banyak.
Katanya, hasil kajian itu akan dimanfaatkan bagi memperluaskan lagi pelaksanaan tanaman berkenaan di seluruh negeri.
Beliau menegaskan, usaha tersebut penting memandangkan Sabah masih bergantung tinggi kepada import beras yang mencecah sekitar 80 peratus.
“Apabila berlaku krisis global seperti konflik atau kenaikan kos pengangkutan, bekalan makanan boleh terjejas. Jadi kita perlu bersiap sedia dari sekarang,” katanya.
Menurutnya, tanaman padi tanah kering juga sesuai dilaksanakan di kawasan kategori K3 yang bergantung sepenuhnya kepada air hujan.
“Kawasan K3 ini tidak mempunyai sistem pengairan lengkap, jadi pendekatan tanaman padi tanah kering adalah antara solusi terbaik untuk dimanfaatkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian turut mengarahkan semua agensi berkaitan supaya mempergiat usaha mencari pendekatan baharu bagi memastikan bekalan makanan negeri sentiasa mencukupi.
Katanya, selain padi, Kerajaan juga memberi tumpuan kepada pengeluaran makanan ternakan seperti jagung bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.
Namun, beliau menegaskan pembangunan tanaman padi tanah kering akan terus menjadi antara keutamaan kerana potensinya yang besar serta kemampuan dilaksanakan secara kecil-kecilan oleh rakyat.
“Ini antara inisiatif yang akan kita terus perkasakan dari semasa ke semasa bagi memastikan keterjaminan makanan negeri sentiasa terpelihara,” katanya.
Jamawi turut memberikan penghargaan kepada semua yang menjayakan Sambutan Pesta pada tahun ini.
Turut diadakan ialah beberapa pertandingan seperti Sugandoi, makanan tradisi, gerai tercantik dan ‘Basaan togingo’ (pakaian tercantik) bagi lelaki dan wanita
Hadir sama, Pembantu Menteri, Datuk Haji Ruslan Muharam; Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah (LGIS), Datuk Seri Jahid Jahim; Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap Kementerian, Awang Dzulkernain Awang Hassan dan Maria David Edick selalu Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana; Pengarah-pengarah Jabatan dan Agensi MAFFI.
































