KOTA BELUD: Taman Perindustrian Kota Belud (KBIP) dijangka membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat Sabah, khususnya penduduk tempatan apabila ia mula beroperasi kelak.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata, pembangunan itu selari dengan usaha kerajaan negeri memperluaskan sektor perindustrian menerusi pembukaan tiga taman perindustrian baharu di Beaufort, Kudat dan Kota Belud.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, daripada lebih 13,000 ekar kawasan yang dikenal pasti pada peringkat awal, kira-kira 3,300 ekar telah dipersetujui untuk pembangunan KBIP.
“Ketika ini proses perolehan kawasan melibatkan tanah kerajaan dan tanah lain sedang dilaksanakan dan ia memerlukan masa sekurang-kurangnya setahun.
“Dalam masa yang sama, kementerian juga bergerak untuk mempromosikan taman-taman perindustrian ini yang telah diputuskan oleh kabinet,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kota Belud di Buhavan Square, di sini, kelmarin.
Ewon berkata, usaha menarik pelaburan asing turut dipergiat menerusi lawatan promosi ke Taiwan dan China, yang telah membuahkan hasil apabila sebuah syarikat pengeluar kenderaan dari China, Dongfeng Motor, menyatakan komitmen untuk melabur di Sabah.
Katanya, syarikat itu bersama rakan tempatan Kim Teck Cheong Berhad telah memohon kira-kira 200 ekar tanah di KBIP untuk membangunkan kilang pemasangan kenderaan.
“Selain itu, sebuah syarikat dalam sektor minyak dan gas turut memohon kira-kira 50 ekar tanah di kawasan tersebut,” katanya.
Ewon berkata, pihaknya akan meneruskan usaha menarik lebih banyak pelaburan asing termasuk menerusi lawatan kerja ke Korea Selatan pada 8 hingga 12 Jun depan.
“Saya akan bertemu tiga syarikat dari Korea Selatan yang telah menyatakan hasrat untuk mengembangkan perusahaan mereka di Sabah.
“Sebagai wakil rakyat dari Kadamaian dan Kota Belud, saya perlu meyakinkan mereka supaya memilih KBIP sebagai destinasi pelaburan,” katanya.
Beliau menegaskan peluang pekerjaan yang diwujudkan kelak perlu memberi keutamaan kepada rakyat tempatan khususnya di Kadamaian, Usukan, Tempasuk dan Pintasan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ewon berkata, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian yang kini pesat membangun berpotensi menjadi destinasi pelancongan baharu di Sabah.
Katanya, pelbagai pembangunan terus dilaksanakan termasuk pembinaan sekolah, klinik, jalan raya serta program pemilikan tanah di kampung-kampung.
Kerajaan juga akan memulakan program penyukatan pantas di dua lagi mukim tahun ini selain dua projek jalan raya utama yang dijangka memasuki proses perolehan menjelang hujung tahun.
“Saya yakin dalam tempoh beberapa tahun akan datang, lebih banyak pembangunan dapat dibawa ke Kadamaian demi kesejahteraan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan.
Menurutnya, antara projek utama yang dilaksanakan termasuk naik taraf Jalan Sayap, Jalan Terintidon, Jalan Podos dan Jalan Komburaon selain pembinaan Jambatan Melangkap serta jambatan di Kaung.
Katanya, dalam tempoh empat tahun lalu, pelbagai pembangunan berjaya direalisasikan termasuk penaiktarafan jalan utama, pembinaan jambatan dan program penyukatan tanah di bawah Program PANTAS.
“Beberapa sekolah daif kini dinaik taraf kepada bangunan konkrit, manakala klinik desa turut dipertingkatkan.
“Kemudahan tamu desa juga dinaik taraf bagi memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung,” katanya.
Ewon berkata, segala pembangunan itu merupakan usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat terutama di kawasan luar bandar.
Dalam pada itu, beliau melihat potensi besar sektor pelancongan di Kadamaian, khususnya melibatkan pemandangan Gunung Kinabalu dari kawasan Kota Belud.
“Ramai hanya mengenali Gunung Kinabalu dari sudut Ranau seperti Kundasang, Bundu Tuhan dan Mesilou.
“Jarang diketahui bahawa pemandangan Gunung Kinabalu dari Kota Belud dan Kadamaian juga sama cantiknya,” katanya.
Beliau berkata, cadangan pembinaan laluan pendakian ketiga Gunung Kinabalu dari Kadamaian yang sedang dibincangkan bersama Taman-Taman Sabah dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah diyakini mampu merancakkan sektor pelancongan kawasan itu.
“Saya yakin apabila laluan ini siap kelak, Kadamaian akan menjadi destinasi pelancongan yang mampu bersaing dengan Mesilou dan Kundasang,” katanya.
Menurutnya, pembangunan sektor pelancongan itu juga akan membuka peluang kepada penduduk setempat untuk memajukan tanah bagi tujuan pertanian dan pelancongan.
Menyentuh sambutan Kaamatan, Ewon berkata perayaan itu bukan sahaja melambangkan tuaian padi, tetapi juga kejayaan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan dan pembangunan.
Katanya, semangat perpaduan dan keharmonian perlu terus dipupuk, khususnya di Sabah yang mempunyai pelbagai etnik, kaum dan agama.
“Sambutan Kaamatan mencerminkan perpaduan kukuh rakyat pelbagai kaum di Kota Belud, dengan penyertaan masyarakat Dusun, Tobilung, Bajau, Iranun, Sino dan Cina.
“Ia bukan sahaja pesta kebudayaan, tetapi juga medium memperkasakan semangat kebersamaan rakyat,” katanya.






























