Hajiji bersalaman dengan ahli-ahli parti yang menghadiri Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat di SICC hari ini.
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang selaras pindaan perlembagaannya yang menetapkan 26 kawasan Parlimen di Sabah dan Labuan sebagai bahagian baharu parti.
Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, persediaan jentera parti telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu.
“Kita bersedia menghadapi pilihan raya akan datang dengan menyusun strategi serta mengemas jentera mengikut kawasan Parlimen. Kebetulan kita akan menghadapi PRU Parlimen, jadi pindaan ini amat sesuai,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Persidangan khas yang dihadiri perwakilan dari seluruh Sabah dan Labuan itu bertujuan meminda perlembagaan parti bagi membolehkan pembahagian bahagian dibuat mengikut kawasan Parlimen, berbanding Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.
Hajiji yang juga Ketua Menteri dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, usul pindaan itu mendapat sokongan sebulat suara daripada semua perwakilan termasuk sayap Wanita, Pemuda, Beliawanis dan bahagian parti.
Menurutnya, pindaan tersebut akan dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk kelulusan.
“Pindaan daripada 74 bahagian kepada 26 telah diluluskan dan akan dihantar kepada ROS. Selepas itu, kita akan mengemas kini struktur parti berdasarkan kawasan Parlimen,” katanya.




























