Dr. Ridwan melawat pameran.
KOTA KINABALU: Kanser kulit kini menjadi isu kesihatan yang semakin membimbangkan di Sabah, khususnya berikutan pendedahan berterusan kepada sinaran ultraungu sepanjang tahun di negeri beriklim tropika itu.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. William Gotulis berkata, keadaan itu memerlukan usaha berterusan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, memperkukuh pengesanan awal serta memastikan pesakit mendapat diagnosis dan rawatan yang tepat.
“Persidangan ini diadakan pada waktu yang amat penting memandangkan kanser kulit kini menjadi isu kesihatan yang semakin membimbangkan, khususnya di kawasan beriklim tropika seperti Sabah yang terdedah kepada sinaran ultraungu sepanjang tahun.
“Keadaan ini menuntut peningkatan kesedaran masyarakat, pengesanan awal, diagnosis yang tepat serta rawatan yang berkesan bagi menangani penyakit berkenaan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kanser Kulit Sabah 2026 di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr. Ridwan Hashim.
Seramai 180 peserta dari Malaysia dan luar negara menghadiri persidangan sulung itu yang menghimpunkan pelajar perubatan, pegawai perubatan, profesional kesihatan bersekutu, doktor pelatih pembedahan, pakar serta perunding.
Dr. Gotulis berkata, penganjuran persidangan berkenaan mencerminkan komitmen tinggi pihak penganjur dalam memperkukuh kepakaran klinikal, pertukaran ilmu akademik dan kerjasama multidisiplin dalam pengurusan kanser kulit.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Unit Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu serta Kelab Plastik Akademik Sabah (KAPS) yang menerajui penganjuran program tersebut.
Menurutnya, pengukuhan kepakaran dalam bidang berkenaan amat penting bagi memastikan pesakit menerima rawatan yang tepat pada masa yang sesuai.
“Pengukuhan kepakaran dalam bidang ini amat penting bagi memastikan pesakit menerima rawatan yang tepat dan pada masa yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan kapasiti, latihan dan perkongsian ilmu dalam kalangan profesional penjagaan kesihatan perlu terus diperkasakan agar mereka sentiasa seiring dengan cabaran klinikal dan kemajuan perubatan yang semakin berkembang.
Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah kekal komited menyokong pelbagai inisiatif yang mampu meningkatkan kualiti, kebolehcapaian dan kelestarian perkhidmatan kesihatan selaras dengan keutamaan yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Persidangan seperti ini menyediakan platform penting untuk bertukar pandangan, berkongsi pengalaman klinikal serta menyebarkan perkembangan terkini dalam aspek diagnosis, rawatan dan penjagaan rekonstruktif bagi pesakit kanser kulit,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan penyertaan penceramah dan pakar terkemuka dari pelbagai institusi serta negara yang disifatkan mampu memperkayakan perbincangan saintifik dan membuka peluang pembelajaran yang bernilai kepada para peserta.
Selain sesi pembentangan ilmiah, persidangan itu turut menampilkan Bengkel Jahitan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif (PRS) serta Pengurusan Parut bagi memberi pengalaman secara langsung mengenai teknik pembedahan dan pendekatan moden dalam pengurusan parut.
Dr. Gotulis berkata, beliau yakin persidangan sulung itu akan menjadi pemangkin kepada kerjasama, penyelidikan dan pertukaran ilmu pada masa hadapan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kualiti penjagaan pesakit serta hasil rawatan klinikal yang lebih baik.
Seramai 13 penceramah membentangkan kertas kerja sepanjang persidangan itu, termasuk pakar dari Malaysia dan luar negara yang berkongsi perkembangan terkini berkaitan diagnosis, rawatan serta penjagaan rekonstruktif kanser kulit.


























