Dr. Andi (kanan) diiringi Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mohd. Mansur, beramah mesra dengan sebahagian delegasi pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Asia Tenggara (ASAIHL).
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menegaskan Kerajaan Negeri kekal komited memperkukuh pembangunan modal insan menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Beliau berkata, usaha itu akan membantu melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang bersedia memenuhi keperluan industri masa depan, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi digital serta sektor strategik berimpak tinggi yang lain.
“Ini akan membantu melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang bersedia memenuhi keperluan industri masa depan, khususnya dalam bidang AI, teknologi digital serta sektor strategik berimpak tinggi yang lain,” katanya ketika merasmikan perasmian Persidangan Antarabangsa Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Asia Tenggara (ASAIHL) di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr. Andi Md. Shamsureezal Mohd. Sainal.
Hajiji berkata tema persidangan ASAIHL, “Merapatkan Sempadan, Membina Masa Depan: Pembelajaran Sepanjang Hayat untuk Pembangunan Mampan dan Transformasi Digital di Asia”, amat bertepatan dalam era transformasi pesat masa kini.
Katanya, dalam aspek pembelajaran sepanjang hayat, Sabah berdepan pelbagai cabaran yang kompleks, daripada bentuk muka bumi yang luas meliputi kawasan pesisir pantai, tanah tinggi dan pedalaman terpencil hinggalah kepada masyarakat yang kaya dengan kepelbagaian etnik dan budaya.
“Kita juga berdepan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar. Namun begitu, kita telah mengambil langkah proaktif untuk menangani cabaran ini, antaranya dengan menggalakkan kerjasama antara institusi pengajian tinggi di Sabah, kolej komuniti, pusat latihan vokasional serta pertubuhan bukan kerajaan bagi memperluaskan akses kepada pendidikan berterusan,” katanya.
Menurutnya, persoalan yang perlu dijawab bukan lagi sama ada pembelajaran sepanjang hayat itu penting, tetapi bagaimana sistem, jaringan kerjasama dan minda dapat dibangunkan bagi menjadikan pembelajaran sepanjang hayat lebih mudah diakses, saksama dan berkesan untuk semua.
Hajiji berkata, AI kini sedang mengubah cara manusia bekerja, manakala kemunculan berterusan teknologi baharu menuntut industri dan profesion untuk terus menyesuaikan diri.
Katanya, integrasi AI, analitik data raya, pembelajaran mesin dan platform digital dalam setiap aspek kehidupan manusia sedang mengubah landskap pendidikan, perdagangan, tadbir urus serta interaksi sosial.
“Bagi universiti di seluruh Asia, keadaan ini membawa peluang yang luar biasa, namun pada masa sama turut menghadirkan cabaran yang besar.
“Peluang tersebut terletak pada keupayaan kita untuk mencapai golongan pembelajar yang sebelum ini sukar diakses melalui platform dalam talian, mikrokelayakan, bilik darjah maya dan pembelajaran diperibadikan yang dibantu AI,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya gembira melihat kehadiran tokoh-tokoh pemikir yang terlibat secara aktif dalam transformasi digital dan inovasi pendidikan pada persidangan berkenaan.
“Saya dimaklumkan bahawa persidangan ini telah menerima sebanyak 12 kertas penyelidikan daripada penyelidik di seluruh rantau ini. Inilah bentuk penglibatan intelektual yang kita perlukan, iaitu yang mampu menterjemahkan potensi teknologi kepada realiti pendidikan,” katanya.
Hajiji turut berbesar hati apabila dimaklumkan bahawa ASAIHL 2026 berjaya menarik penyertaan peserta dari lapan negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Iran, Uzbekistan, Kemboja dan Perancis.
Katanya, penyertaan itu mencerminkan kepelbagaian tradisi akademik, konteks dasar serta pengalaman yang kaya.
“Kepelbagaian ini bukan sekadar satu pencapaian dari segi penganjuran, malah menjadi asas kepada kekuatan pertukaran akademik antarabangsa,” katanya.
Beliau turut memuji UMS atas peranannya dalam usaha berkenaan dan berkata menerusi program jangkauan, inisiatif pembangunan profesional serta aktiviti libat urus komuniti, universiti itu terus memperkukuh kedudukannya sebagai rakan pembelajaran sepanjang hayat kepada rakyat Sabah.
“Saya berharap lebih banyak institusi dan organisasi yang berkongsi aspirasi sama akan mencontohi usaha seperti ini dalam mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.


























