William (tengah) ketika menyampaikan cenderamata kepada Hanifah.
TUARAN : Klinik kesihatan di luar bandar perlu terus diperkasa bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap dan berkualiti.
Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, usaha menaik taraf fasiliti kesihatan khususnya di kawasan luar bandar merupakan satu keperluan dalam memperkukuh sistem penjagaan kesihatan primer.
“Kerja menaik taraf klinik kesihatan khususnya di luar bandar adalah satu keperluan selaras dengan agenda reformasi kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Langkah strategik ini amat penting bagi menjayakan agenda kementerian iaitu beralih daripada merawat penyakit kepada penjagaan kesihatan yang bermula di peringkat fasiliti kesihatan primer,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Blok Baharu Klinik Kesihatan Tenghilan, Tuaran di sini, pada Isnin.
Beliau berharap masyarakat di daerah Tuaran khususnya penduduk dalam kawasan liputan Klinik Kesihatan Tenghilan menjadikan klinik itu sebagai pusat rujukan utama bukan sahaja untuk mendapatkan rawatan, tetapi juga meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan penyakit dan amalan gaya hidup sihat.
“Saya berharap dengan adanya blok baharu ini, penyampaian perkhidmatan akan menjadi lebih cekap dan selesa selain mewujudkan suasana kerja yang lebih baik kepada petugas kesihatan,” jelasnya.
Hanifah turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan aspek penjagaan kesihatan berikutan perubahan iklim global yang menyebabkan cuaca tidak menentu termasuk peningkatan suhu panas, gelombang haba, banjir kilat dan hujan berterusan.
“Saya ingin berpesan kepada semua agar meletakkan aspek penjagaan kesihatan sebagai keutamaan.
“Jika berlaku cuaca panas ekstrem, hadkan aktiviti luar dan pastikan minum air putih secukupnya. Pakailah pakaian yang longgar dan ringan bagi membantu pengaliran haba badan.
“Semasa hujan lebat dan berlakunya banjir, patuhi arahan berpindah sekiranya diarahkan pihak berkuasa dan lakukan dengan segera kerana keselamatan nyawa adalah keutamaan tertinggi,” ujarnya.
Beliau turut menyeru masyarakat agar membudayakan gaya hidup sihat termasuk melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala serta mempergiat usaha pencegahan penyakit seperti membersihkan kawasan air bertakung bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Pembinaan blok baharu Klinik Kesihatan Tenghilan yang siap pada tahun 2024 itu memberi manfaat besar kepada kira-kira 23,000 penduduk sekitar dalam mendapatkan akses rawatan kesihatan yang lebih cepat dan efisien.
Hadir sama, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr William Gotulis; Timbalan Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Pembangunan KKM, Nazaruddin Sharaai; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pengurusan) JKNS, Datin Jasnawati Jasmin dan Pegawai Kesihatan Kawasan Pejabat Kesihatan Tuaran, Dr Pathman Arumugam.
































