Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR (Bernama): Jambatan Bailey sepanjang 91.44 meter di Sungai Kaiduan, Papar, Sabah kini siap, sekali gus menghubungkan semula lima kampung dan memberikan manfaat kepada hampir 1,000 penduduk.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jambatan dengan kapasiti beban sehingga 20 tan itu dipasang bagi menggantikan struktur asal yang runtuh akibat bencana banjir pada 13 Sept 2025 yang menjejaskan laluan perhubungan penduduk setempat.
Susulan kejadian itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengarahkan pemasangan jambatan Bailey dilaksanakan segera.
Beliau kemudiannya meninjau sendiri eadaan di lokasi pada 18 Sept.
“Bagi saya, apabila akses perhubungan rakyat terputus akibat bencana, tindakan pemulihan perlu dilaksanakan secepat mungkin kerana melibatkan urusan harian, pergerakan dan kehidupan masyarakat setempat.
“Insya-Allah, usaha pemulihan seperti ini akan terus diberikan perhatian agar kemudahan yang terjejas dapat dipulihkan dan kehidupan rakyat kembali berjalan seperti biasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. — BERNAMA
































