KOTA KINABALU (Bernama): Sabah sedang bergerak ke arah ekonomi yang pelbagai, sekali gus memerlukan tenaga mahir bukan sahaja untuk sektor minyak dan gas, tetapi juga dalam perkilangan, pembinaan, tenaga, pelancongan, pertanian moden, teknologi dan ekonomi digital.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib berkata negeri itu tidak boleh hanya bergantung pada tenaga kerja luar, sebaliknya perlu memperluas peluang pendidikan dan latihan kemahiran bagi melahirkan lebih ramai anak tempatan yang berkelayakan serta memenuhi keperluan industri.
Beliau berkata Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah antara fokus penting kerajaan negeri dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan dan menyediakan tenaga kerja yang bersesuaian dengan kehendak industri.
“Kita mahu anak Sabah menjadi sebahagian daripada tenaga penggerak ekonomi negeri, bukan sekadar menjadi penonton kepada pembangunan yang berlaku di negeri sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Tajaan Pendidikan Petronas Memperkasakan Ilmu Sabah 2026, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini hari ini.
James berkata ketiga-tiga pihak bergerak seiring dengan kerajaan menyediakan ekosistemnya, institusi pendidikan dan latihan menyediakan bakat, manakala industri membuka ruang untuk mereka berkembang yang mampu melahirkan tenaga kerja Sabah yang benar-benar memenuhi keperluan industri.
Dalam pada itu, James turut menghargai sumbangan Petronas melalui Biasiswa Kecil Petronas yang menyediakan peluang pendidikan kepada pelajar sekolah menengah di Sabah bagi sesi 2026/2027 dengan memilih 25 anak Sabah menerima biasiswa berkenaan.
Jumlah itu, katanya, menjadikan sebanyak 140 penerima telah memperoleh biasiswa itu sejak diperkenalkan pada 2023, malah lebih membanggakan, sembilan penerima berjaya dipilih menerima tajaan penuh di bawah Program Tajaan Pendidikan Petronas Memperkasakan Ilmu 2026.
Beliau turut menyambut baik apabila Petronas melalui Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC) mengambil 22 pelatih baharu untuk mengikuti program Diploma Kemahiran Malaysia dalam bidang Instrumentasi Perindustrian dan Sistem Kawalan.
“Bidang berkenaan mempunyai nilai strategik dalam menyokong keperluan industri moden, khususnya sektor minyak dan gas selain bidang-bidang lain yang semakin berkembang,” katanya sambil menambah Sabah memerlukan rakyat yang berilmu, berdaya saing, tenaga kerja berkemahiran dan generasi muda yang berani, kompeten serta bersedia memimpin. — BERNAMA
































