Tesla mungkin boleh dikatakan nama paling kuat di dalam dunia kenderaan elektrik (EV).
Bukan sahaja Tesla yang memulakan pasaran EV secara meluas, ia juga dimiliki oleh Elon Musk, satu karektor yang penuh dengan kontroversi tetapi dalam kalangan peminat automotif, Tesla melambangkan sesuatu yang berbeza.
Menurut Utusan Malaysia, Tesla dipenuhi dengan pakar-pakar yang pernah bekerja dengan syarikat automotif legasi lain dan mereka sebenarnya tahu apa yang diperlukan, cuma cara pemikiran Tesla ialah “kenapa perlu ikut tradisi jika tidak ada gunanya” sering menjadi bahan debat antara peminat automotif.
Contohnya Model 3 sekarang, ia bukan sahaja tiada tuil gear, tetapi tuil tanda isyarat membelok juga dibuang (diganti dengan dua butang pada sebelah kiri stereng).
Sama juga dengan pembuka pintu dari dalam – Tesla yang pertama menggunakan suis, bukannya tuil biasa. Tempat letak barang hadapan – Tesla menjadikannya satu standard, dan seperti biasa, ditiru pula oleh syarikat kenderaan lain.
Varian yang diuji minggu ini pula membuktikan Tesla sebenarnya tahu apa yang disukai oleh peminat kereta prestasi. Ia menghasilkan sesuatu yang sukar dicapai oleh syarikat lain – sebuah sedan berprestasi tinggi pada kadar harga yang tak munasabah.
Tesla Model 3 Performance ini dilancarkan di Malaysia pada Mei lalu dan ia menghamburkan 460 hp dan 723 Nm serta mampu mencapai had laju maksimum 261 kilometer sejam km/j dan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 3.1 saat.
Ini ialah prestasi yang hanya boleh dicapai oleh kereta-kereta eksotik atau varian prestasi seperti BMW M3 atau Mercedes-Benz AMG C63, di mana harga mereka semuanya di atas RM800,000.
Tesla Malaysia hanya meletakkan harga RM243,700 (atas jalan tanpa insurans) untuk Model 3 Performance dan ia menjadikan mereka yang tidak begitu sukakan Tesla terdiam.
Dari segi jarak gerak, Tesla mendakwa Model 3 Performance memberikan perjalanan sejauh 528 km (kiraan WLTP). Jika dipandu seperti dikejar polis, maka jarak itu pastinya tidak akan tercapai.
Perbezaan dari segi luaran bila dibandingkan dengan Model 3 biasa jiran anda ialah bumper depan yang jauh lebih sporty, lengkap dengan “spoiler” di bahagian bawah. Di belakang, “diffuser” atau sirip-sirip yang melancarkan pergerakan udara ditambah pada bahagian bawah bumper.
Roda aloi gelap yang nampak jahat itu bersaiz 20 inci dan dipasang dengan tayar-tayar Pirelli P Zero Elect. Harus diingat, tayar belakang lebih lebar dari yang hadapan (275/30 R20 untuk belakang dan 235/35 R20 untuk hadapan).
Angkup-angkup brek warna merah yang lebih besar dipasang bagi membantu pemandu untuk memperlahankan sedan elektrik ini dengan selamat.
Model 3 Performance juga duduk lebih rendah daripada varian biasa – lebih tepat lagi, 10 milimeter (mm) lebih rendah. Ini ialah kerana ia menggunakan pegas, alas getah (bushing) dan bar penstabil (anti-roll bar) yang berbeza. Semuanya demi pengendalian yang lebih mantap dan supaya pemandu boleh menggunakan jumlah tenaga tersebut.
Tesla tidak pernah mengaku saiz dan jenis bateri yang digunakan tetapi penulis merasakan saiz bateri yang diberikan untuk pasaran tempatan adalah lebih kecil dari yang diterima oleh pengguna di Amerika Syarikat (AS).
Ini ialah berdasarkan prestasi yang berbeza – 460 hp untuk Malaysia sementara AS menerima Model 3 Performance dengan kuasa kuda setinggi 510 hp. Menurut rakan-rakan industri, kemungkinan varian Malaysia menggunakan bateri sebesar 79 kWh dari LG (Tesla banyak berahsia dari segi spesifikasi dan tidak melayan sebarang pertanyaan).
Prestasi pemanduan memang mirip kepada kenderaan dari Eropah, terutama dari BMW. Oleh kerana EV mempunyai binaan yang lebih mudah (tidak perlu sistem transmisi dan sebagainya), banyak parameter pemanduan yang boleh dikawal oleh pemandu.
Contohnya, pemandu dengan mudah boleh memilih untuk menghantar kuasa sepenuhnya ke roda hadapan, atau seimbang antara hadapan dan belakang, atau menjadikan Model 3 Performance ini jentera drift dengan menyalurkan 100 peratus tenaga ke roda belakang.
Selain itu, tindak balas stereng dan prestasi memecut juga boleh dilaras dengan hanya pilihan butang pada skrin sesentuh itu.
Semuanya dilakukan dengan sekelip mata, dan pecutan 0-100 km/j dalam tempoh 3.1 saat memang boleh dilakukan sepanjang hari tanpa merosakan klac atau transimisi kerana ia tidak mempunyai komponen-komponen mekanikal tersebut!
Kawalan stereng semasa melalui selekoh-selekoh mengingatkan penulis kepada jentera-jentera prestasi BMW – M3 dan M5. Sistem gantungan yang memang responsif menghalang sebarang olengan badan Tesla ini. Di selekoh-selekoh yang pendek dan rapat, susah untuk tidak mengukir senyuman kerana ia memberi kepuasan.
Cuma, halwa telinga sahaja tidak mampu diberikan kepuasan kerana ia tidak mempunyai enjin. Janggal, dan terasa kurang sedikit nikmatnya.
Brek yang besar itu memang perlu bekerja keras untuk memperlahankan kenderaan seberat lebih dua tan ini (dengan muatan).
Ya, kenderaan elektrik memang lebih berat cuma segala berat itu berpusat pada tengah kenderaan, menyebabkan kurang efek peralihan berat dari depan ke belakang bila dibrek dengan kuat.
Sayangnya, bila selekoh panjang diambil dalam kelajuan tinggi, penulis masih boleh merasakan beratnya. Ini menjadi lebih teruk bila selekoh diambil dalam keadaan permukaan tidak begitu rata, atau bila terpaksa menukar arah untuk mengelakkan objek.
Bonggol di jalan raya juga perlu dilalui dengan perlahan jika tidak mahu “perutnya” terhentak ke jalan raya dan pastinya, pad brek perlu ditukar lebih awal dan pad yang mahal diperlukan.
Suka atau tidak, dari segi produk itu sendiri, Tesla Model 3 Performance memberikan prestasi yang hanya boleh diimpikan oleh jenama-jenama lain, termasuk BMW (pada julat harga ini).
Ya, BYD Seal juga mampu memberikan prestasi yang hampir serupa (0-100 km/j dalam masa 3.8 saat) tetapi dari segi kepuasan memandu, jenama China itu masih perlukan lagi masa untuk menghasilkan produk yang sematang Tesla ini.
Lima bintang dari penulis!
Spesifikasi
Tesla Model 3 Performance
Bateri: 79 kWh dari LG dengan dua motor elektrik (AWD)
Tenaga maksimum: 460 hp
Daya kilas maksimum: 723 Nm dari 0 rpm
Transmisi: Tiada
Daya pecutan 0-100 km/j: 3.1 saat
Halaju maksimum: 261 km/j
Harga: RM243,700 atas jalan tanpa insuran
Waranti kenderaan: 4 tahun atau 80,000 km (mana yang terdahulu)
Waranti bateri dan perkakasan pacuan (drive unit): 8 tahun atau 192,000 km atau kapasiti bateri 70 peratus bila tamat tempoh waranti


































