Kamala Harris dan Donald Trump
WASHINGTON: Persaingan merebut jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) semakin sengit apabila tinjauan pendapat mendapati calon Parti Demokrat, Kamala Harris mempunyai kelebihan tipis berbanding calon Parti Republikan, Donald Trump.
Menurut Utusan Malaysia, tinjauan pendapat The Guardian menunjukkan, Harris yang juga Naib Presiden AS kini berada di depan dengan 47.5 peratus sokongan, hanya 3.6 peratus di depan berbanding Trump pada 43.9 peratus.
Menjelang debat yang akan diadakan pada 10 September ini, Trump dijangka menggunakan sepenuhnya peluang itu bagi meraih momentum untuk meraih sokongan pengundi.
Berdasarkan tinjauan pendapat baharu itu, kedua-dua calon berkenaan perlu mendapatkan sokongan di negeri-negeri tertentu antaranya North Carolina yang mempunyai 16 undian elektoral, di mana kedudukan mereka kini hampir seimbang.
Selain itu, penarikan diri calon bebas, Robert F. Kennedy Jr pada saat-saat akhir juga boleh memberi kesan kepada undian di North Carolina memandangkan namanya sudah dicetak pada kertas undi.
Beliau yang menyatakan sokongan kepada Trump telah mengemukakan saman terhadap agensi pilihan raya di negeri berkenaan berikutan keengganan badan itu mengeluarkan namanya daripada kertas undi.
Pennsylvania juga bakal memperlihatkan saingan sengit antara Trump dan Harris kerana pada pilihan raya 2020, Presiden Joe Biden hanya menang dengan majoriti nipis di negeri tersebut.
Kedua-dua calon itu juga perlu memberi tumpuan kepada kempen di negeri-negeri seperti Georgia, Nevada dan Arizona.
Dalam perkembangan berkaitan, Harris berjaya meraih AS$361 juta (RM1.56 bilion) sumbangan pada bulan lalu sahaja berbanding Trump yang mengumpul AS$130 (RM563 juta).


































