Pesawat Airbus Beluga A300-600ST mendarat di LTAL untuk mengisi bahan api sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya di Padang Matsirat di Langkawi. Gambar ihsan/Muzani Md Noor
PARIS: Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) mengarahkan mana-mana model pesawat Airbus A350-1000 yang sedang beroperasi di benua tersebut menjalani pemeriksaan segera.
Menurut Utusan Malaysia, ini susulan insiden melibatkan pesawat Airbus 350-1000 milik Cathay Pasifik baru-baru ini yang terpaksa berpatah balik dalam perjalanan dari Hong Kong ke Zurich selepas satu enjinnya terbakar sejurus berlepas.
EASA memaklumkan, enjin pesawat buatan Rolls-Royce Trent itu terbakar apabila hos bahan api bertekanan tingginya gagal berfungsi.
Kes tersebut sedang disiasat Pihak Berkuasa Penyiasatan Kemalangan Udara Hong Kong (AAIA), menyebabkan 48 pesawat model sama dihenti tugas sementara bagi tujuan pemeriksaan.
Menurut EASA, terdapat 86 pesawat serupa sedang digunakan di dunia.
Insiden melibatkan pesawat tersebut turut mendorong beberapa syarikat pemilik model sama melakukan pemeriksaan ke atas pesawat mereka.
Bagaimanapun, jelas EASA, langkah tersebut tidak melibakan 526 buah model A350-900 yang sedang beroperasi di seluruh dunia.
Kejadian itu turut mendorong Rolls-Royce Trent melakukan pemeriksaan ke atas enjin XWB-84 dan XWB-97, yang masing-masing digunakan oleh kedua-dua model pesawat tersebut.
Hasil pemeriksaan mendapati, hanya enjin XWB-97 yang dipasang pada pesawat Airbus A350-1000 dikhuatiri mengalami masalah terebut.


































