Polis akan meneliti sama ada Telegram bersubahat dalam penyebaran imej dan video palsu seksual, yang didakwa melibatkan wanita Korea Selatan.
SEOUL: Polis Korea Selatan melancarkan siasatan terhadap platform Telegram berhubung jenayah seks dalam talian menggunakan teknik palsu asli atau ‘deepfake’.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pejabat Siasatan Kebangsaan berkata, siasatan itu akan meneliti sama ada Telegram bersubahat dengan penyebaran imej dan video palsu seksual, lapor Yonhap.
Pihak berkuasa Korea Selatan meminta Telegram dan platform media sosial lain untuk bekerjasama dalam memerangi jenayah pemalsuan seksual.
Langkah itu susulan laporan beberapa media tempatan mengenai kandungan melibatkan imej dan video wanita Korea Selatan, sering ditemui dalam ruang sembang Telegram.
Menurut Reuters, pegawai di biro siasatan Agensi Polis Negara enggan mengesahkan laporan itu apabila dihubungi melalui telefon.
Setakat ini, Telegram belum memberikan sebarang maklum balas, tetapi minggu lalu syarikat itu secara aktif mengawal kandungan berbahaya pada platformnya termasuk pornografi.
“Kawalan menggunakan gabungan pemantauan proaktif terhadap bahagian awam platform, alat AI yang canggih dan laporan pengguna untuk menghapuskan berjuta kandungan berbahaya setiap hari,” katanya.
Sebelum ini, polis Korea Selatan melaporkan jenayah seks dalam talian melibatkan video ‘deepfake’ meningkat 297 kes dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.


































