JAKARTA: Kerajaan Indonesia menyarankan rakyat supaya bekerja dari rumah semasa lawatan pemimpin tertinggi Vatican, Pope Francis ke Indonesia khususnya di Jakarta, awal bulan depan.
Menurut Utusan Malaysia, Pemangku Gabenor Jakarta dan Ketua Sekretariat Presiden, Heru Budi Hartono berkata, saranan itu adalah usaha untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Ini kerana, jadual perjalanan Pope di kompleks Gelora Bung Karno (GBK), Senayan serentak dengan Forum Kelestarian Antarabangsa di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC), yang akan dihadiri Presiden Joko Widodo (Jokowi).
Heru berkata, memandangkan kedua-dua lokasi ini berdekatan, bekerja dari rumah disarankan untuk mengurangkan kesesakan.
“Kami berharap orang ramai dapat mempertimbangkan perkara ini dan mengambil langkah sewajarnya, seperti bekerja dari rumah,” kata Heru di Istana Presiden, Jakarta kelmarin.
Pope Francis akan mempengerusikan Mass Misa di GBK, yang dijangka menarik kira-kira 90,000 penganut Katolik dari seluruh Indonesia.
Heru menjangkakan penyertaan sejumlah besar penganut Katolik dari pelbagai wilayah akan menyumbang kepada kesesakan.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan kerajaan akan melaksana peraturan dan kemungkinan menyediakan peta laluan lencongan.
Mengikut perancangan, Pope Francis akan tiba di Indonesia pada 3 September ini, dan Presiden Jokowi dijangka menerima kunjungan pemimpin tersebut di Istana Presiden di Jakarta, keesokannya.


































