Simptom Cacar Monyet
ADDIS ABABA: Badan Kesihatan awam tertinggi Afrika mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam berikutan wabak Cacar Monyet atau lebih dikenali sebagai MPOX telah merebak dari Republik Demokratik Congo ke negara jiran lain.
Menurut Utusan Malaysia, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (CDC Afrika) sebelum ini memberi amaran mengenai kadar penyebaran jangkitan virus yang membimbangkan pada minggu lalu, di mana ia disebarkan melalui hubungan rapat serta memberi simptom seperti selesema dan luka yang dipenuhi dengan nanah manakala kebanyakan kes adalah ringan tetapi boleh sampai kepada tahap membunuh pesakit.
“Kami mengisytiharkan hari ini kecemasan kesihatan awam keselamatan benua bagi menggerakkan institusi kami, kehendak kolektif kami, dan sumber kami untuk bertindak pantas dan tegas,” kata Ketua Pengarah, Jean Kaseya dalam taklimat yang disiarkan secara langsung menerusi aplikasi Zoom.
Wabak di Congo bermula dengan penyebaran endemik, yang dikenali sebagai Clade 1, tetapi varian baharu iaitu Clade lb kelihatan lebih mudah merebak melalui kontak rapat, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.
Tambah Kaseya, Afrika memerlukan lebih daripada 10 juta dos vaksin namun hanya kira-kira 200,00 sahaja yang tersedia dan beliau berjanji bahawa CDC Afrika akan berusaha untuk meningkatkan bekalan ke benua itu dengan cepat.
“Kami mempunyai rancangan yang jelas untuk mendapatkan lebih dari 10 juta dos di Afrika, bermula dengan tiga juta dos pada 2024,” katanya lagi.
Badan kesihatan itu berkata lebih 15,000 kes MPOX dan 461 kematian dari 18 buah negara telah dilaporkan di benua itu setakat ini, meningkat melebihi 160 peratus daripada tempoh yang sama pada tahun lepas.
MPOX telah menjadi endemik di benua Afrika selama beberapa dekad selepas ia pertama kali dikesan di Congo pada tahun 1970.
Virus tersebut telah merebak ke lebih 100 negara pada 2022, di mana sebahagian besarnya melalui hubungan seksual, mendorong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan, namun ditamatkan 10 bulan kemudian kerana jangkitan tersebut terkawal.
Sementara itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat mengeluarkan amaran kesihatan kedua minggu lalu untuk memaklumkan kepada doktor dan jabatan kesihatan tentang jangkitan baharu yang boleh membawa kepada maut.
Selain itu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berjanji akan mengadakan jawatankuasa kecemasan untuk berbincang sama ada wabak di Congo mewakili kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa.


































