Jokowi bersama Naib Presiden, Ma’aruf Amin serta Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto melihat kemajuan Nusantara.
NUSANTARA: Hasrat Indonesia memindahkan kumpulan pertama kakitangan awamnya ke ibu negara baharu Nusantara, mungkin tergendala berikutan beberapa isu termasuk kemudahan belum lengkap dan projek yang masih tertangguh.
Menurut Utusan Malaysia, Presiden, Joko Widodo atau Jokowi berkata, mengikut rancangan asal, sebanyak 10,000 penjawat awam akan menjadi kumpulan pertama ke Nusantara pada September ini, namun ia bergantung kepada keadaan semasa.
“Buat masa ini, kita masih menetapkan rancangan penempatan kakitangan awam pada bulan September.
“Bagaimanapun ia bergantung kepada persiapan di Nusantara, kita tidak mahu mendesak,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini seperti laporan Bloomberg.
Sekiranya rancangan itu gagal dilaksanakan tepat pada waktunya, ia boleh menimbulkan keraguan terhadap projek masih tertangguh sekali gus sukar menarik kemasukan pelaburan asing.
Jokowi mula bertugas dari ibu negara ini sejak 11 Ogos lalu dan mesyuarat Kabinet pertamanya diadakan di sini pada Isnin lepas.
Lokasi itu dianggap strategik dan akan mempromosikan pembangunan yang lebih seimbang di negara terbesar di Asia Tenggara ini.


































