De Ligt dan Mazraoui akan memperkuatkan benteng pertahanan Manchester United di bawah kendalian Ten Hag.
LONDON: Manchester United memperkuatkan jentera pertahanan menjelang sepak mula Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mengikat Matthijs De Ligt dan Noussair Mazraoui dari Bayern Munich.
Menurut Utusan Malaysia, Pertahanan Belanda, De Ligt kembali menyertai pengurus United, Erik Ten Hag selepas mereka pernah bekerjasama di Ajax dengan kontrak jangka panjang iaitu lima tahun dengan pilihan lanjutan setahun.
“Sebaik sahaja saya mendengar bahawa United mahukan saya, saya merasakan satu kegembiraan tentang peluang untuk cabaran baru di kelab yang begitu bersejarah.
“Dalam perbualan yang seterusnya, saya kagum dengan visi yang ditetapkan oleh kepimpinan kelab bola sepak itu, dan peranan yang mereka lihat untuk saya bersama pasukan.
“Ten Hag membentuk saya di peringkat awal kerjaya saya, jadi dia tahu bagaimana untuk mendapatkan yang terbaik daripada saya dan saya tidak sabar untuk bekerja dengannya lagi,” kata De Ligt.
Pemain berusia 25 tahun itu telah memenangi gelaran liga di tiga negara ketika bersama Ajax (Belanda), Juventus (Itali) dan Bayern (Jerman).
“Saya tahu apa yang diperlukan untuk berjaya di peringkat tertinggi, dan saya bertekad untuk meneruskan rekod itu di kelab istimewa ini,” katanya lagi.
De Ligt memperkuat pertahanan tengah United selepas Raphael Varane meninggalkan kelab itu manakala Leny Yoro berisiko untuk diketepikan selama tiga bulan akibat kecederaan kaki ketika menentang Arsenal dalam pramusim.
Dalam pada itu, Mazraoui, 26, juga pernah bekerjasama dengan Ten Hag di Ajax, memenangi tiga kali kejuaraan liga bersama kelab itu dan satu lagi dengan Bayern mengakui berasa teruja menyertai Red Devils.
“Ia adalah perasaan yang luar biasa untuk menjadi pemain Manchester United, dan saya tidak sabar untuk berjalan keluar di Old Trafford dengan memakai baju merah,” kata Mazraoui.
Yuran perpindahakan kedua-dua pemain itu tidak didedahkan, namun terdapat laporan yang menganggarkan ia sebanyak 60 juta pound (RM341.5 juta).


































