HONG KONG: China mengusulkan satu draf undang-undang untuk memudahkan pasangan mendaftar perkahwinan manakala proses perceraian akan menjadi lebih sukar, satu langkah yang mendapat kritikan daripada penduduk negara ini hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, draf undang-undang yang bertujuan membentuk masyarakat mesra keluarga itu didedahkan oleh Kementerian Hal Ehwal Awam China minggu ini bagi mendapatkan maklum balas orang awam sehingga 11 September ini.
Langkah itu diambil kerana penggubal dasar menghadapi kesukaran untuk menggalakkan pasangan muda berkahwin dan mempunyai anak setelah populasi negara menurun selama bertahun-tahun.
Undang-undang yang dicadangkan itu membolehkan perkahwinan didaftarkan di mana-mana lokasi di seluruh negara berbanding peraturan sebelum ini yang memerlukan pasangan mendaftar di daerah tempat tinggal masing-masing.
Perceraian pula hanya boleh diteruskan selepas tempoh bertenang 30 hari, yang membolehkan permohonan berkenaan ditarik semula skiranya salah satu pihak enggan berpisah.
Draf tersebut menjadi topik hangat pengguna laman sosial tempatan Weibo yang menyifatkannya sebagai undang-undang yang bodoh.
Profesor di Institut Kajian Populasi dan Pembangunan di Universiti Xi’an Jiaotong, Jiang Quanbao berkata kepada Global Times, peraturan tersebut bertujuan menggalakkan kepentingan perkahwinan dan keluarga di samping mengurangkan kadar perceraian.
Jumlah pasangan China yang berkahwin pada separuh pertama tahun ini turun sebanyak 498,000 daripada tahun sebelumnya kepada 3.43 juta, jumlah terendah sejak 2013, kerana semakin ramai orang muda menangguhkan perkahwinan.


































