Ramli Mohamed Yoosuf
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangka kes pecah amanah melibatkan peguam akan meningkat pada tahun ini susulan 27 kes direkodkan sehingga Julai lalu dengan jumlah kerugian lebih RM20.3 juta.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, perbuatan itu jelas melanggar etika profesional dan undang-undang.
“Sepanjang tahun 2022, sebanyak 29 kes telah direkodkan melibatkan nilai kerugian lebih RM13 juta. Bagi 2023 pula, jumlah kes ini terus bertambah kepada 31 kes dengan nilai kerugian RM33.34 juta. Kita jangka jumlah kes ini akan terus meningkat.
“Justeru, mana-mana pihak yang berurusan dengan pihak peguam khususnya melibatkan amaun yang besar disarankan untuk sentiasa menyemak keberadaan wang tersebut agar kes sebegini dapat dielakkan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, semalam.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pihak JSJK sedang menjalankan dua lagi kes berkaitan pecah amanah jenayah melibatkan peguam yang berlaku di Selangor dan Johor.
“Satu laporan polis telah diterima di Selangor pada 8 Ogos lalu daripada seorang lelaki berusia 72 tahun didakwa telah ditipu sebuah firma guaman di Kuala Lumpur .
“Pengadu yang juga seorang pesara sebuah syarikat swasta telah melantik firma guaman tersebut bagi menguruskan perihal penjualan tanah miliknya pada tahun 2023,” katanya.
Menurut Ramli, satu perjanjian telah ditandatangani antara pengadu dan pembeli bagi urusan penjualan tanah yang berkeluasan 518 meter persegi di Johor pada harga RM140,000 dibuat pada 14 Mac 2024.
“Pada 20 Jun lalu, pembeli memperoleh kelulusan pinjaman daripada institusi kewangan dan jumlah itu telah dibayar ke akaun klien firman guaman yang dilantik pengadu.
“Selepas sebulan , pengadu membuat laporan polis kerana tidak menerima bayaran daripada peguam itu dan lebih malang, cek yang diterima dua kali dari peguam terbabit ditolak atas alasan terdapat pindaan pada cek tersebut,” katanya.
Sementara kes di Johor pula, satu laporan dibuat oleh seorang lelaki berusia 51 tahun mendakwa ditipu atas urusan pengendalian bayaran yuran perkhidmatan syarikat.
Jelas Ramli, pada tahun 2013, pengadu merupakan seorang perunding perumahan telah melantik sebuah syarikat firma guaman sebagai pemegang taruh bagi penerimaan fi perkhidmatan semua pelanggan syarikatnya.
“Untuk tujuan tersebut, satu akaun Maybank telah dibuat atas firma guaman terbabit dan kesemua wang diterima daripada pelanggan yang jumlah RM833,473.75 telah dimasukkan ke akaun tersebut.
“Pada Jun lalu, pengadu telah mengemukakan tuntutan kepada firma guaman itu untuk menyerahkan wang tersebut namun mereka gagal berbuat demikian,” katanya.
Menurutnya, pengadu bertemu dengan peguam itu namun dikatakan wang tersebut telah digunakan untuk membayar rumah milik peguam itu dari dilelong sebulan kemudian. Namun hasil semakan mendapati, wang tersebut dipercayai digunakan untuk kepentingan peribadi peguam terbabit.
Tambah Ramli, berikutan itu kedua-dua kes terbabit sedang disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Tegasnya, walaupun jumlah kes pecah amanah melibatkan peguam kecil jika dibandingkan dengan yang berdaftar, namun nilai kerugian yang direkodkan bagi setiap satu kes adalah amat besar.
“Saya konsisten dengan cadangan untuk mewujudkan dua penandatangan bagi akaun pelanggan yang dibuka. Ini bertujuan memberikan akses kepada pelanggan dalam menyemak keberadaan wang milik mereka.
“Bagaimanapun, saya menyerahkan perkara ini kepada kebijaksanaan pihak Majlis Peguam Malaysia untuk mengkaji sebarang kelemahan yang mungkin wujud dalam pengendalian akaun amanah pelanggan oleh firma guaman,” katanya.


































