Presiden terpilih, Prabowo Subianto (kanan) dan Presiden Jokowi (tengah) dalam sidang akhbar di hadapan Istana Garuda di Nusantara.
JAKARTA: Presiden Indonesia yang dipilih, Prabowo Subianto memberi jaminan pembangunan ibu kota Nusantara (IKN) di Kalimantan Timur akan selesai, meskipun selepas pentadbiran bertukar tangan bermula Oktober ini.
Menurut Utusan Malaysia, beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan berhubung kesinambungan pembangunan IKN di bawah pentadbirannya meskipun projek mega itu merupakan cetusan Presiden Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi.
“Kita pasti akan menyelesaikannya,” kata Prabowo dalam satu kenyataan akhbar bersama Jokowi di IKN, kelmarin.
Prabowo dijangka mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia kelapan pada Oktober ini selepas memenangi pilihan raya pada Februari lalu.
Walaupun diunjurkan keseluruhan rancangan pembangunan IKN akan siap beberapa dekad dari sekarang, Prabowo optimis ibu negara baharu itu akan mula berfungsi dengan baik dalam tempoh empat hingga lima tahun.
“Saya optimis ia akan berfungsi dengan baik dalam tempoh empat hingga lima tahun lagi. Saya bukan pakar kejuruteraan, tetapi saya melihat potensinya,” kata Prabowo.
Beliau yang kini berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan berkata, pembangunan IKN akan terus berjalan dan dipercepatkan dengan penglibatan pakar.
“Kita gunakan segala kemampuan. Sudah pasti pembangunan IKN akan diteruskan,” katanya.
Sementara itu, Jokowi berkata, IKN mempunyai udara yang bersih, selaras dengan sasaran.
Sebelum ini, Presiden Indonesia itu berkata, Prabowo bersetuju dengan belanjawan untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur di Nusantara.
Pada masa ini, kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan Kawasan Teras Kerajaan Pusat (KIPP) IKN.
Menurut Jokowi, kerajaan bertanggungjawab membina kemudahan dan infrastruktur asas di IKN seperti jalan raya serta bekalan elektrik dan air.


































