SHAH ALAM: Kadar penggunaan perkhidmatan rangkaian 5G di seluruh negara kini sebanyak 43.6 peratus atau 14.8 juta orang meliputi liputan kawasan berpenduduk yang mencapai 81.8 peratus setakat Jun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pelancaran rangkaian 5G yang diketuai Digital Nasional Berhad (DNB) sejak 2021 menetapkan penanda aras global bagi tahap kelajuan dan kecekapannya.
“Pencapaian melebihi 80 peratus liputan dalam tempoh hanya dua tahun meletakkan Malaysia antara yang terpantas di dunia.
“Rangkaian 5G kita kini berada pada tahap memberangsangkan dengan mencapai liputan 81.8 peratus di kawasan dan digunakan oleh 14.8 juta pelanggan,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Edotco Group (Edotco) dan Boost, kelmarin.
Pada Januari lalu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan penggunaan rangkaian 5G berada di landasan tepat apabila kadarnya mencecah 29.9 peratus atau hampir 10.07 juta pelanggan.
Peningkatan kadar itu dianggap signifikan, berbanding hanya 12.5 peratus penggunaannya pada November tahun lalu.
Dalam pada itu, kata Gobind, pihaknya mengiktiraf peranan Edotco dalam mempercepatkan penggunaan 5G yang merekodkan pencapaian luar biasa.
“Menerusi lebih 2,000 menara telekomunikasi, syarikat itu menaik taraf menara 4G sedia ada dengan lancar bagi menyokong sambungan 5G.
“Pendekatan inovatif ini bukan saja mempercepatkan penggunaan malah meminimumkan keperluan bagi struktur baharu sekali gus memperjuangkan amalan mesra alam serta penyelesaian cekap tenaga,” jelasnya.
Tambah beliau, masih ada kawasan liputan tidak mencukupi biarpun rangkaian itu tersedia di kebanyakkan pusat bandar.
“Ada sesetengah negeri ketinggalan daripada purata nasional dalam kebolehcapaian 5G. Kita akan mempercepatkan proses itu di negeri di luar Lembah Klang bagi memastikan kesalinghubungan yang saksama di seluruh negara,” ujarnya.


































