KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemukan petunjuk baharu terhadap siasatan pembelian kapal selam Scorpene daripada syarikat Perancis.
Menurut Utusan Malaysia, satu sumber memberitahu, SPRM menjalankan semula siasatan itu dengan menumpukan kepada penyelewengan sebanyak RM42 juta.
Kata sumber itu, jumlah itu adalah sebahagian daripada RM530 juta yang dibayar dalam kontrak pembekalan perkhidmatan sokongan dalam pembelian kapal selam terbabit.
“Sebuah syarikat tempatan yang dilantik juga dalam pemerhatian SPRM selepas dikatakan membuat pembayaran kepada beberapa syarikat tanpa pengetahuan Lembaga Pengarah.
“Dipercayai pembayaran-pembayaran dengan jumlah RM42 juta ini diseleweng kepada syarikat-syarikat yang dimiliki oleh ahli keluarga pemilik syarikat terbabit,” katanya.
Sumber berkata, SPRM akan memanggil beberapa orang saksi dalam siasatan itu.
“SPRM sudah mengenal pasti individu-individu yang terbabit dan mereka juga sudah dirakam percakapan sebelum ini,” jelasnya.
Pembelian kapal selam itu mencetuskan polemik pada 2010 dan turut terkait ialah seorang bekas Perdana Menteri.
Pada 2002, bekas Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan ketika itu menyelia pembelian dua kapal selam jenis Scorpene dan satu kapal selam jenis Agosta daripada unit limbungan tentera laut Perancis, DCN (kini sebahagian daripada Thales), bernilai hampir STG1 bilion (AS$1.17 bilion).
































