Kesilapan memilih kursus dan lewat menyedari kemampuan diri boleh menyebabkan sebahagian mahasiswa tidak dapat menamatkan pengajian mereka.
PETALING JAYA: Salah memilih kursus dan lewat menyedari kemampuan diri untuk mengikuti program yang diikuti antara sebab 24,296 mahasiswa gagal menamatkan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Menurut Utusan Malaysia, Pensyarah Fakulti Pengurusan, Pendidikan dan Kemanusian, Kolej Universiti Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Prof. Dr. Bustam Kamri berkata, sebahagian daripada mereka didapati terburu-buru ketika membuat permohonan masuk ke IPTA.
“Pada mereka, lebih baik masuk universiti dahulu tanpa memikirkan sama ada kursus pengajian yang diambil itu boleh ditamatkan sehingga semester akhir atau tidak. Kebiasaannya, golongan ini hanya sedar yang program berkenaan tidak sesuai pada penghujung semester.
“Apabila sudah tidak boleh bawa, akhirnya mereka buat keputusan untuk tinggalkan kursus pengajian itu tanpa graduasi.
“Sehubungan itu, amat penting untuk membuat penilaian yang tepat dan mengambil tahu secara meluas mengenai kursus pengajian yang mahu diambil sebelum membuat permohonan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas kenyataan Kementerian Pendidikan (KPT) di Dewan Negara mengenai jumlah mahasiswa yang gagal menamatkan pengajian mereka di IPTA.
Pada 2020, sejumlah 13,291 atau 2.27 peratus pelajar di IPTA tidak menamatkan pengajian manakala seramai 17,613 pelajar atau 2.99 peratus daripada keseluruhan 589,879 pelajar pada 2021.
Mengulas lanjut, Bustam berkata, faktor kewangan turut menjadi punca ramai golongan pelajar tidak menamatkan pengajian mereka.
“Pada awalnya, urusan pengajian mungkin lancar disebabkan ada bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan mendapat mendiami bilik kolej tanpa perlu menyewa di luar.
“Namun, selepas beberapa semester, pelajar itu mungkin sudah tidak dapat mendiami bilik kolej dan perlu menyewa di luar. Keadaan itu memerlukan mereka menggunakan lebih banyak duit dan akhirnya mengalami masalah kewangan, sekali gus buat keputusan tidak mahu habiskan pengajian,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Pembangunan Akademik, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Madya Dr. Suriyani Ariffin berkata, mahasiswa yang gagal menamatkan pengajian seharusnya diberi peluang kedua.
“Hal ini kerana pelajar mempunyai potensi akademik yang belum dicapai sepenuhnya kerana faktor atau masalah yang boleh diatasi dengan bantuan pelbagai pihak selain dapat membantu pelajar menyedari kesilapan mereka, sekali gus lebih bersedia untuk berjaya,” katanya.
Tambahnya, bantuan kewangan termasuk menyediakan biasiswa, pinjaman pendidikan, dan bantuan kewangan antara kaedah yang boleh mengatasi peningkatan pelajar yang gagal menamatkan pengajian di UA.
“Sokongan akademik juga penting dengan melantik penasihat akademik kepada setiap pelajar dalam memberi bimbingan dan sokongan selain perlunya sokongan keluarga.
“Program kaunseling juga boleh membantu pelajar mengenal pasti potensi dan minat mereka dalam melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” jelasnya.


































