Dr. Mohd. Arifin (tengah) bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin (kiri) dan ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick pada persidangan DUN kelmarin.
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan Proof of Concept (POC), bagi pemasangan peranti satelit Starlink di 40 lokasi di seluruh negara.
Tujuan POC ini adalah untuk menilai kebolehlaksanaan (feasibility) penyediaan perkhidmatan jalur lebar Starlink sebagai langkah interim selama setahun bagi menyelesaikan isu-isu ketersambungan yang dihadapi di kawasan-kawasan yang menghadapi masalah liputan termasuklah di sekolah dan kawasan terpencil sebelum penyelesaian kekal dilaksanakan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, POC ini dibahagikan kepada dua fasa di mana Fasa 1 melibatkan 10 unit peranti Starlink yang telah dipasang di lokasi-lokasi terpilih di seluruh negara termasuk dua di Sabah iaitu di Kampung Langsat, Ranau dan SK Malaing, Keningau.
Manakala, POC Fasa 2 pula melibatkan 30 unit peranti Starlink termasuk lapan yang telah dipasang di Sabah meliputi daerah-daerah Keningau, Kudat, Tuaran, Nabawan, Papar (2 lokasi), Tawau (2 lokasi).
“Perkhidmatan internet satelit Starlink juga boleh dilanggan secara terus oleh semua rakyat Malaysia melalui laman sesawang rasmi Starlink.
“Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi (KK) turut melaksanakan inisiatif Point of Presence (PoP) hab gentian optik bagi meluaskan lagi pelaksanaan jalur lebar ke seluruh negara.
“Projek ini melibatkan penyediaan infrastruktur gentian optik berhampiran sekolah dan dapat dinikmati oleh premis kediaman, premis industri serta premis perniagaan yang terletak di sekitar sekolah tersebut,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini kelmarin.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Anwar Ayuub @ Annuar Ayub (Liawan) yang bertanya berapa buahkah VSAT Starlink dan PoP yang telah dipasang di sekolah-sekolah yang sukar mendapatkan liputan rangkaian internet di kawasan Pedalaman Atas.
Dr. Mohd. Arifin berkata, di bawah PoP Fasa 1 di Sabah, 59 buah sekolah serta lapan lokasi industri telah siap dan beroperasi.
Kesinambungan daripada itu, PoP Fasa 2 yang melibatkan 636 buah sekolah di Sabah sedang dalam pelaksanaan, tambahnya.
Beliau berkata, Starlink yang dilaksanakan oleh Sabah Net dengan inisiatif dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), bertujuan untuk menyediakan internet berkelajuan tinggi kepada kawasan-kawasan terpencil dan kurang mendapat liputan di Sabah.
“Dengan pemasangan sebanyak 300 unit VSAT Starlink di pelbagai daerah termasuk di kawasan Pantai Barat, Pantai Timur, dan Pedalaman, kami memastikan akses internet yang stabil dan berkualiti.
“Ini merupakan solusi interim sementara menunggu pelaksanaan JENDELA, yang mungkin mengambil masa untuk siap dan berkhidmat.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk merapatkan
jurang digital dan menyediakan peluang yang sama dalam pembelajaran
dan penggunaan digital kepada semua penduduk, tanpa mengira lokasi
mereka,” katanya


































