KOTA KINABALU: Jabatan Pertanian Sabah mengambil inisiatif untuk meningkatkan pengeluaran padi dan beras di negeri ini dari pelbagai program yang dijalankan.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, antara inisiatif yang dijalankan ialah pemberian bantuan subsidi pembajakan sawah padi oleh jabatan tersebut.
“Pada tahun 2023, insentif pembayaran subsidi pembajakan ini melibatkan seramai 21,263 pesawah dengan keluasan 21,896.73 hektar,” katanya.
Beliau berkata, selain itu, pesawah turut diberikan bantuan input pertanian (baja dan racun kawalan perosak) oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), di sampign insentif penjualan padi oleh Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS).
“Saya sendiri telah melancarkan kempen penanaman padi dua kali setahun dan penggunaan varieti padi TR8 yang berhasil tinggi (High Yield Variety/HYV) pada 5 Februari 2024 di Tambunan.
“Kempen tersebut bertujuan untuk memaksimakan penggunaan tanah sawah padi di 21 buah daerah. Hasil varieti padi TR8 berupaya mencapai sehingga 10 metrik tan per hektar.
“Ini terbukti dengan pencapaian hasil padi 6 metrik tan per hektar di Kampung Solibog, Tambunan dan 8 metrik tan per hektar di Kg. Lambanga, Keningau,” katanya.
Dr Jeffrey menambah, Jabatan Pertanian Sabah juga telah menjalankan program pemulihan tanah sawah terbiar seluas 456 hektar di seluruh Sabah dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran hasil dan keluasan kawasan bertanam.
“Kementerian saya turut menggalakkan penglibatan agensi/GLC/swasta/individu dengan mengadakan kolaborasi bersama Sawit Kinabalu untuk penanaman padi di kawasan yang tidak aktif atau pembukaan kawasan sawah padi baharu seluas 100 hektar di Kg. Taritipan, Kota Marudu,” katanya.
Beliau berkata, pada tahun lalu, JPS telah diperuntukkan sebanyak RM700,000 melalui Program Mekanisasi dan Automasi Agromakanan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Program tersebut, katanya, membekalkan 14 buah traktor pembajak (rubber crawler lengkap dengan implement) dan 6 buah mini jentuai padi yang telah dipinjamkan kepada para petani melalui Program Peminjaman Jentera di bawah Jabatan Pertanian Sabah.
Dr. Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau dan ADUN Tambunan berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Datuk Dr. Yusof @ Josree Yacob (Sindumin), Dr. Daud Yusof (Bongawan) dan Datuk Yakubah Khan (Karambunai) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini kelmarin.
Dr. Yusof bertanya apakah status terkini penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah dan selain penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah ini apakah inisiatif lain diambil untuk meningkatkan pengeluaran padi dan beras negeri ini, manakala Dr. Daud bertanya apakah matlamat jangka pendek dan jangka panjang yang boleh dilaksanakan oleh Kerajaan dalam usaha pemuliharaan sumber perikanan di Teluk Kimanis. Yakubah pula bertanya berapakah jumlah keseluruhan nelayan berdaftar di Sabah dan daripada jumlah berdaftar berapakah bilangan yang telah mendapat insentif daripada pihak Kerajaan.
Berkenaan soal perikanan, Dr. Jeffrey berkata, Kementeriannya melalui Jabatan Perikanan Sabah juga melaksanakan pelbagai usaha untuk memulihara sumber perikanan di Teluk Kimanis.
“Antara usaha jangka pendek yang dijalankan oleh jabatan tersebut ialah menempatkan tukun tiruan, memberi bantuan insentif iaitu peranti pengumpul ikan (unjam dan payao) dan peralatan perikanan [bot, enjin sangkut dan alat bantuan pelayaran Global Positioning System (GPS)].
“Selain itu, kawalan penangkapan ikan dengan cara menghadkan pengeluaran lesen perikanan turut dilaksanakan. Kuota lesen perikanan bagang di Teluk Kimanis dihadkan kepada 150 lesen sahaja bagi mengawal pengeksploitasian sumber ikan bilis.
“Bagi usaha jangka masa panjang, jabatan mewujudkan zon khas bagang di Teluk Kimanis untuk menghadkan pengeksploitasian ikan bilis. Zon khas tersebut dapat mengawal operasi penangkapan ikan bilis bagi memulihara sumber perikanan di Teluk Kimanis,” katanya.
Tambah beliau, 183 unit tukun tiruan telah dilabuhkan di lapan lokasi tukun tiruan di Teluk Kimanis yang bertujuan memastikan kawasan tersebut sentiasa mempunyai sumber perikanan yang cukup, mampan dan lestari.
Dr. Jeffrey berkata, jumlah keseluruhan nelayan yang berdaftar dengan jabatan tersebut setakat Disember 2023 ialah seramai 31,300 orang.
“Kita bertanggungjawab dalam membantu menyelaras pengagihan Bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND) daripada Jabatan Perikanan Malaysia.
“Seramai 794 orang nelayan yang memenuhi kriteria telah menerima Bantuan ESHND bernilai RM 250.00 sebulan setakat bulan Jun 2024.
“Manakala seramai 220 orang nelayan di pelbagai daerah telah mendapat bantuan insentif yang disalurkan oleh Jabatan Perikanan Sabah sepanjang tahun 2022 hingga 2023,” katanya.
Bantuan insentif ini termasuklah bantuan bot, enjin sangkut, peralatan menangkap ikan, peranti pengumpul ikan, peralatan penyimpanan ikan, peralatan bantuan pelayaran dan peralatan keselamatan pelayaran.


































