Ramli Mohamed Yoosuf
PETALING JAYA: Tular di media sosial ketika ini mengenai pempengaruh yang didakwa menyeleweng dan melakukan pecah amanah wang derma sumbangan orang ramai.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu sekiranya mempunyai laporan berhubung dakwaan jenayah itu.
Menurut beliau, mana-mana orang awam yang berasa terkesan disebabkan derma berkenaan atau mengetahui bahawa sumbangan itu disalahgunakan perlu tampil membuat laporan polis..
“Ini membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak kita,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini kelmarin.
Oleh itu, Ramli mengingatkan, masyarakat supaya berhati-hati memberi derma terhadap tabung yang ditubuhkan oleh individu tertentu bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Kata beliau, orang ramai dinasihatkan untuk membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang derma.
“Kita kena hati-hati. Mereka akan menggunakan rasa simpati dan sifat dermawan kita untuk dimanipulasi tetapi akhirnya kita tidak tahu di mana wang itu disalurkan.
“Jadi jika betul hendak menderma salurkan ke tabung disediakan kerajaan atau ke tabung pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” jelasnya
Terdahulu, tular di media sosial mengenai pempengaruh yang dikatakan mengambil komisen hasil kutipan derma orang ramai dengan peratusan yang tinggi.
Lebih mencurigakan apabila pempengaruh itu dan pasangannya dilihat hidup mewah hingga menimbulkan pelbagai tanda tanya warga siber.
Malah, pempengaruh tersebut didakwa tidak membuat audit terhadap kutipan orang ramai itu dan dikatakan juga tidak menunjukkan gambar atau bukti kutipan tersebut diserahkan kepada penerimanya.


































