Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffrey Jimit dan Chester Voo bertukar dokumen memorandum persefahaman kerjasama strategik STB dan AirAsia, sambil disaksikan oleh Christina Liew di Kota Kinabalu semalam.
KOTA KINABALU: Sektor pelancongan Sabah dijangka terus berkembang dengan peningkatan perhubungan udara melalui kerjasama strategik Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan Syarikat Penerbangan AirAsia yang dimeterai semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, kerjasama itu dijangka memperkukuh status Sabah sebagai destinasi pelancongan utama di Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) serta rantau ASEAN.
Kerjasama strategik selama lima tahun (2024-2028) itu akan terus memacu sektor pelancongan negeri ini. Baru-baru ini, Sabah dinobatkan sebagai salah satu destinasi mampu milik dan AirAsia telah memainkan peranan penting dalam pencapaian ini.
“Sepanjang Januari hingga Jun, Sabah merekodkan kemasukan 1.24 juta pelancong menerusi rangkaian penerbangan AirAsia.
“Sehingga tahun 2022, sektor pelancongan menyumbang kepada 22.8 peratus pekerjaan di negeri ini termasuk jawatan di hotel, restoran, agensi pelancongan, dan pusat pelancongan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Operasi Penerbangan) AirAsia Aviation Group, Datuk Kapten Chester Voo berkata, kerjasama yang terjalin itu adalah langkah penting untuk kumpulan AirAsia memperluas rangkaian dari hab kedua terbesar di Malaysia ini.
Sejak 2002, AirAsia menerbangkan hampir 80 juta penumpang dari dan ke Sabah melalui laluan domestik dan antarabangsa.
Kumpulan AirAsia kini terbang ke 23 destinasi dari dan ke Sabah dengan jumlah 294 penerbangan seminggu.


































