PETALING JAYA : Polis menerima sebanyak 19 laporan dengan kerugian RM688,099 akibat terpedaya sindiket tawaran kerja tidak wujud.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket itu dikesan mula menyebarkan mesej ‘job for senior’ yang mempromosikan pekerjaan sambilan secara dalam talian di sebuah laman sesawang.
“Mesej itu dihantar melalui aplikasi WhatsApp yang disyaki menyasarkan mangsa dalam kalangan warga emas.
“Secara keseluruhannya, sebanyak 19 laporan polis telah diterima di seluruh Malaysia berkaitan laman sesawang terbabit melibatkan nilai kerugian RM688,099,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, tiga daripada mangsa adalah dalam kategori warga emas.
“Ia sekali gus menunjukkan warga emas merupakan sasaran yang lebih ‘berkualiti’ berbanding kategori mangsa lain,” katanya.
Beliau berkata, sindiket penipuan itu menggunakan platform Instagram dan Facebook untuk mengiklankan tawaran pekerjaan sambilan selaku ejen tempahan hotel.
Jelas beliau, mangsa yang berminat akan diminta membuka akaun di laman sesawang terbabit dan menyelesaikan tugasan tempahan hotel sebagaimana diarahkan.
“Tempahan perlu dibuat menggunakan wang mangsa terlebih dahulu dengan jaminan ia akan dipulangkan semula beserta komisyen. Mangsa dijanjikan komisyen sebanyak 0.6 peratus hingga 10 peratus bergantung kepada tugasan yang diselesaikan,” katanya.
Ujar beliau, melalui laman sesawang terbabit, mangsa akan dapat melihat wang komisyen mereka meningkat.
“Bagaimanapun, apabila ingin mengeluarkan wang keuntungan, sindiket akan mengarahkan mangsa membuat pelbagai bayaran tambahan. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Ramli berkata, orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya agar tidak menjadi mangsa kepada kegiatan penipuan sebegini.
“Hubungi National Scam Response Center di talian 997 untuk sebarang aduan dan nasihat berkenaan jenayah penipuan,” katanya.


































