Dr. Abu Tariq Jamaluddin
PETALING JAYA: Fasa pertama pelaksanaan sistem invois elektronik (e-invois) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bakal bermula 1 Ogos ini dengan melibatkan syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin memaklumkan, fasa kedua pula akan melibatkan syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM 25 juta hingga RM100 juta.
Justeru, dengan garis masa ini, LHDN selaku pelaksana akan memastikan hasrat kerajaan untuk memandatorikan penggunaan e-invois pada 1 Julai 2025 kepada semua peringkat pembayar cukai dapat direalisasikan,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan mekanisme e-invois yang merupakan representasi dalam bentuk digital bagi transaksi yang dilaksanakan antara penjual dan pembeli bagi menggantikan penggunaan dokumen kertas atau elektronik seperti dalam format pdf, jpeg, doc dan lain-lain.
Ia mengandungi maklumat penting yang sama seperti dokumen tradisional seperti butiran penjual dan pembeli, keterangan item, kuantiti, harga tanpa cukai, cukai dan jumlah keseluruhan yang merekodkan data transaksi untuk operasi perniagaan harian.
Pelaksanaan e-invois merupakan salah satu inisiatif dalam meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kawalan pengurusan cukai serta kewangan.
Terdahulu, Abu Tariq menyertai program dialog bersama dengan pihak-pihak berkepentingan, satu sesi dialog yang melibatkan lebih daripada 110 orang ahli-ahli perniagaan diadakan di Putrajaya, semalam.
Sesi ini merupakan salah satu agenda utama LHDN dalam membuka ruang kepada pihak persatuan dan agensi itu untuk berinteraksi dengan lebih dekat dalam membincangkan kepentingan bersama khususnya perihal percukaian.
Dalam pada itu, LHDN dalam kenyataan memaklumkan pihaknya sentiasa komited sebagai pemudah cara kepada pembayar cukai dalam melaksanakan tanggungjawab kepada negara sekali gus memastikan tahap kesedaran dan pematuhan pembayar cukai sentiasa berada pada tahap yang terbaik.
Kata lembaga itu, sinergi dan juga konsep demand and supply antara LHDN dan pihak persatuan perdagangan ini bergerak seiring bagi memastikan keseimbangan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak demi kemakmuran negara.

































